Diterbitkan pada 16 Februari 2025, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Persembahan Dikir Barat menjadi satu daripada daya tarikan Malam Citradisional yang berlangsung di Dewan Al-Khawarizmi  UIAM Gambang.

Gambang – Dewan Al-Khawarizmi Pusat Asasi UIAM Gambang baru-baru ini, bergema dengan alunan seni dan budaya Melayu melalui program Malam Citradisional yang berjaya menarik hampir 1000 orang hadirin. Acara ini dihadiri oleh pelajar, pensyarah serta staf universiti yang mencipta suasana penuh semangat dan keceriaan.

Program yang dianjurkan oleh Kelab CiTRA UIAM Gambang ini menampilkan pelbagai persembahan tradisional yang bertujuan untuk menghayati dan memartabatkan warisan seni serta budaya Melayu dalam kalangan pelajar dan warga UIAM Gambang.

Persembahan menarik yang disajikan antaranya termasuklah teater cerita rakyat, dikir barat, nyanyian lagu asli, gamelan, syair, dan sajak. Setiap persembahan membawa keunikan dan keindahan seni warisan yang dipersembahkan dengan penuh semangat dan kreativiti.

Malam yang istimewa ini turut dimeriahkan dengan penampilan khas selebriti ternama tanah air, Khai Bahar, yang menyampaikan beberapa lagu berirama tradisional, menambahkan lagi kemeriahan program tersebut.

Persembahan khas oleh penyanyi tanah air, Khai Bahar menghangatkan lagi suasana Malam Citradisional.

Program yang dianjurkan sepenuhnya oleh Kelab CiTRA ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen Pusat Asasi UIAM Gambang secara amnya, tetapi juga Kelab CiTRA khususnya, dalam menggalakkan nilai kesenian dan kebudayaan dalam kalangan pelajarnya.

Penasihat Kelab CiTRA, Muhammad Faizuddin Hashim, dalam ucapan beliau, turut menyatakan rasa bangga atas kejayaan penganjuran acara ini yang tidak hanya meriah, tetapi turut menyemarakkan rasa cinta pelajar terhadap seni dan budaya Melayu. Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan warisan seni tradisional terus subur dalam jiwa generasi muda.

Turut hadir bagi memeriahkan majlis ialah Dekan Pusat Asasi UIAM Gambang, Tuan Haji Hasanul Basri Abdullah, dan Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Puan Nazira Zubir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi