Diterbitkan pada 14 Februari 2025, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kisah dongeng tempatan yang diceritakan oleh nenek telah menginspirasikan pensyarah kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Dr. Normarini Norzan, untuk menulis tiga buah buku dongeng kanak-kanak yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun lalu.

Buku-buku tersebut, Siri Cerita Dongeng: Naga Tasik Chini, Siri Cerita Dongeng: Lesung Ajaib dan Siri Cerita Dongeng: Demang, Kuntar dan Nanik, menjadi topik perbincangan utama dalam Bicara Karyawan, sebuah program siaran langsung di platform media sosial DBP yang berlangsung setiap Rabu, pukul 10 pagi. Sesi yang berlangsung pagi tadi dikendalikan oleh YBrs. Puan Nurul Amira Abd Talib, Eksekutif Bahasa dari Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP.

Dalam sesi Bicara Karyawan tersebut, YBhg. Dr. Normarini berkongsi bahawa minat beliau terhadap penulisan kreatif bermula sejak kecil apabila ibu bapanya sering membacakan cerita-cerita dongeng dan karya sastera Melayu kepadanya.

“Dahulu, tidak ada sumber ilmu atau hiburan lain selain buku. Jadi, ibu bapa saya memupuk minat membaca dengan bercerita sebelum tidur. Namun begitu, apa yang benar-benar mencetuskan inspirasi saya adalah kisah-kisah yang diceritakan oleh nenek saya ketika saya pulang ke kampung setelah menginjak dewasa. Pada waktu itu, nenek saya sudahpun berusia 100 tahun dan masih gemar berkongsi cerita dongeng tempatan,” ujar beliau.

YBhg. Dr. Normarini mula merekod perbualan dengan nenek beliau dan menulis semula cerita-cerita itu sekadar untuk simpanan peribadi. Namun begitu, beliau akhirnya menyedari bahawa cerita-cerita lisan ini perlu dibukukan agar tidak hilang ditelan zaman.

“Sayang jika cerita-cerita yang disampaikan secara lisan oleh orang tua-tua ‘terputus’ begitu sahaja. Jika tidak dibukukan, kisah-kisah ini akan mati kerana tiada sesiapa yang akan menyampaikan khazanah budaya, adat dan nilai moral tempatan dalam bentuk kisah-kisah dongeng,” jelas beliau.

Apabila ditanya mengenai pemilihan tiga kisah yang dibukukan, YBhg. Dr. Normarini menyatakan bahawa terdapat banyak cerita yang telah dikumpulkan, namun, tidak semuanya sesuai untuk kanak-kanak.

“Saya telah menapis dan memilih cerita yang bukan sahaja menarik tetapi juga sesuai untuk minda kanak-kanak serta berpotensi menjadi wadah penyampaian nilai murni kepada pembaca cilik dan ibu bapa,” ujar YBhg. Dr. Normarini. Menurut beliau, setiap cerita yang dipilih membawa mesej yang mendalam tentang budaya tempatan. 

Program Bicara Karyawan merupakan inisiatif DBP untuk menampilkan penulis dan berkongsi kisah di sebalik karya mereka. Melalui platform ini, penonton dapat mengenali lebih dekat tokoh-tokoh penulisan serta memahami proses kreatif di sebalik penghasilan buku.

Dengan minat mendalam dalam kesusasteraan lisan dan cerita rakyat, YBhg. Dr. Normarini berharap agar lebih banyak cerita tradisional dapat didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi