Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Tanjong Malim – Pembentangan Kolokium Lima Minit (KOLIMI) Kesusasteraan Melayu telah berlangsung dengan jayanya pada 14 Januari 2025 di Anjung 1, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebanyak 97 orang pembentang pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Kesusasteraan Melayu turut terlibat.
KOLIMI Kesusasteraan Melayu yang bertemakan ”Digitalisasi Pemangkin Transformasi Pendidikan” ini juga turut mendapat pelibatan dari universiti luar negara, iaitu Universiti Brunei Darussalam melalui pembentangan tayangan video.
Majlis Perasmian Kolokium Lima Minit Kesusasteraan Melayu 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) UPSI, Dr. Mohd Amir serta dihadiri oleh Profesor Dr. Abdul Halim Ali sebagai pengucaptama.
Dalam ucapannya Dr. Abdul Halim Ali berkata bahawa,
Kolokium Lima Minit Kesusasteraan Melayu 2025 anjuran UPSI ini dilihat sebagai wadah perkongsian ilmu yang berkesan buat mahasiswa dalam bidang sastera. Harapan saya agar majlis ilmu seperti ini dapat dilaksanakan dengan lebih kerap agar ilmu yang ditimba tidak terhenti setakat itu.
Dalam KOLIMI Kesusasteraan Melayu 2025 tersebut, sebanyak lapan orang panel yang terlibat sebagai penilai mengikut sesi pembentangan yang telah dibahagikan.
Dayang NurShazwani selaku pengarah program berkata bahawa pelaksanaan KOLIMI ini memberikan peluang kepada pelajar tahun akhir dalam bidang yang berkaitan untuk membentangkan hasil kajian mereka dalam skop pendidikan Kesusasteraan Melayu Komunikatif. Pelibatan universiti luar negara juga secara tidak langsung turut membantu dalam perkongsian ilmu bidang kesusasteraan.
Pembentangan ini telah memberikan pengiktirafan kepada sembilan pembentang terbaik sumbangan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai tanda sokongan dalam menjayakan program yang melibatkan Kesusasteraan Melayu.