Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOleh: Ahmad Farihan Abdul Manan
Kuantan – Kolaborasi penuh makna antara Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan Kelab Fusion of Science and Art (FUSCIA) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak menerusi program Santai Puisi: Rintik Hujan Rimbun Fikir.
Acara yang mendapat sokongan padu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah serta Majlis Kebudayaan Negara (MKN) Pahang ini, menggabungkan elemen puisi, muzik dan tradisi klasik yang memukau, menjadikannya lebih bermakna dan berwarna-warni.
Inisiatif ini bertujuan untuk mengembangkan minat serta bakat dalam kalangan generasi muda, terutamanya golongan Generasi Z, terhadap seni dan budaya yang semakin pudar.
Program seperti ini tidak hanya memberikan ruang kepada ekspresi kreatif, tetapi juga mengangkat martabat budaya tempatan.
Pengerusi MKN Pahang, Dato Sri Shahaniza Shamsudin, yang turut hadir sebagai tetamu kehormat, menyuarakan sokongan penuh terhadap aktiviti kebudayaan di negeri ini.
Pihak MKN akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada aktiviti berteraskan kebudayaan di negeri Pahang dan berharap DPMP Kuantan akan terus kekal menjadi pelantar yang memperjuangkan seni dan sastera di negeri Pahang, khususnya di Kuantan.
Zarrief Syabil Abdul Wahid, selaku pengarah program, melihat acara ini sebagai peluang kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk berkarya secara terbuka dan bebas.
Beliau berkongsi bahawa walaupun menghadapi cabaran, termasuk persediaan yang singkat dan komitmen akademik yang padat, dedikasi ahli jawatankuasa serta kerjasama erat dengan DPMP Kuantan menjadi faktor kejayaan utama dalam merealisasikan program ini.
Sepanjang hampir dua jam, program ini diserikan dengan pelbagai persembahan, antaranya termasuklah persembahan gendang dan silat oleh pasukan Seni Silat Cekak Terlak Qhadirun, deklamasi sajak oleh Johari Ibrahim, Ahmad Farihan Manan, Amirul Afiqq, dan HM Nordin yang disertai iringan alat muzik Swiss Hand Pan oleh Profesor Madya Dr. Arifin Kaderi.
Selain itu, tiga sketsa teater, kugiran Fusciacoustic dan Bima Sakti turut mempersembahkan bakat mereka.
Segmen terakhir menyaksikan deklamasi sajak oleh Asmui Mustapha bersama-sama cucunya, Fateh al-Abid, Kumpulan Anak Kayan serta persembahan istimewa daripada Kumpulan Kopratasa menjadikan program ini suatu pengalaman yang penuh makna dan mengesankan.