8 Januari 2025, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Program Semarak Karya Agung: Pementasan Teater Seorang Tua di Kaki Gunung yang diadaptasi daripada karya novelis tempatan Azizi Haji Abdullah, telah berjaya mengangkat keagungan penulisan sastera tempatan dalam bentuk pementasan drama pentas.

Teater yang berlangsung pada 3 dan 4 Januari lalu di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah ini dianjurkan oleh JKKN Kedah dengan kerjasama Kumpulan Bangsawan Seri Kedah.

Pementasan Seorang Tua di Kaki Gunung ini mendapat sambutan yang hangat daripada para peminat teater tanah air dengan kehadiran yang penuh selama dua hari pementasannya berlangsung.

Diadaptasi daripada novel berjudul sama, pementasan ini turut mendapat sentuhan segar daripada pengarah, Zaifri Husin dengan olahan skrip oleh Mohd Yusof Bakar.

Lakonan mantap watak Tukya (Jalaluddin Hassan) dan Lamin melalui pementasan Seorang Tua di Kaki Gunung.

Lakonan mantap para pelakon utama seperti Jalaluddin Hassan sebagai Tukya, serta Hanan yang memegang watak sebagai Lamin dewasa, turut memberikan impak yang mendalam kepada penonton.

Bersama-sama 23 pelakon lain, mereka memberikan “nafas baharu” kepada naskhah klasik yang telah lama menjadi pilihan pembaca sejak diterbitkan.

Beberapa pelakon utama yang menyerikan pementasan ini antaranya termasuklah, Jalaluddin Hassan (Tukya), Dr. Norzizi Abdullah (Besah), Syahida (Maayah), Amyrul Haikal (Din Koboi), Hasbullah (Awang Lazim) dan Hanan (Lamin dewasa).

Penyerahan cenderamata oleh Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran kepada Pengarah Teater, Zaifri Husin.

Pementasan pada malam pertama turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (K), YBrs. Encik Rosnan Nordin, manakala malam kedua pula disertai oleh EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin.

Sebagai rekod, novel Seorang Tua di Kaki Gunung yang diterbitkan pertama kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1982, telah mengalami beberapa cetakan semula, termasuk pada tahun 1994, 2001, 2019 dan terbaharu pada tahun 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.