Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Buku Kumpulan Puisi Primadona Canggung tulisan Wan Zamzahidi Wan Zahid telah dilancarkan pada 21 Disember lalu, bertempat di ruang legar Kompleks Teruntum dalam satu majlis ringkas bersempena dengan program Nostalgia Kompleks Teruntum.
Menampilkan sebanyak 75 buah sajak yang digarap dengan pelbagai tema dan isu yang berlegar, kata pengantar bagi buku yang diterbitkan secara mandiri ini ditulis oleh Allahyarham Pyanhabib tiga bulan sebelum beliau kembali ke rahmatullah.

Menurut Wan Zamzahidi, judul Primadona Canggung menjadi pilihan beliau kerana primadona itu merupakan simbol watak utama dalam mana-mana pementasan.
Primadona itu sendiri merupakan sesuatu yang cukup gah. Kita merupakan watak utama dalam kehidupan kita dan orang lain merupakan watak sampingan. Tiba satu masa, kehidupan kita menjadi canggung, serba tidak kena.
Begitulah mesej yang ingin disampaikan oleh penulis dalam buku Kumpulan Puisi Primadona Canggung berkenaan watak utama dalam kehidupan yang serba tidak kena dan akhirnya cuba mencari ruang untuk meleraikan kekusutan tersebut.
Buku yang diusahakan dan dijayakan sepenuhnya secara mandiri oleh Wan Zamzahidi ini merupakan buku kesembilan hasil tulisannya.
Antara buku lain yang ditulis termasuklah, Kumpulan Puisi Seniman Tanpa Seni, Kumpulan Puisi Dilarang Melarang, Kumpulan Cerpen Cintaku Tertinggal di Okaya dan buku umum, Kenapa Aku Jadi Sosialis serta Warkah-warkah yang Tak Pernah Dikirimkan.