Diterbitkan pada 17 Disember 2024, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Anis A. Azam

Kuala LumpurBengkel Penulisan Lagu: Ruang Kata Teman Baik yang menampilkan tiga pemuzik profesional dari Malaysia dan Indonesia membuka tirai acara hari pertama Festival Pekan Teman Baik yang berlangsung pada 10 hingga 15 Disember 2024.

Acara yang berlangsung di DEKATKL Creative Space ini membawakan Amir Jahari, Megat Fadzly dan kumpulan duo Ruang Baca untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam bidang penulisan muzik.

Sekitar Bengkel Penulisan Lagu yang memberikan pendedahan berkaitan penulisan lagu dan bidang penulisan.

Komposer dan penulis lagu, Amir Jahari yang baharu sahaja memenangi kategori Lagu Tema Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 minggu lalu, menerusi lagu Hasrat turut menekankan soal rasa dalam penghasilan sesebuah lagu. Ujar beliau,

Kita suka meluahkan perasaan, tetapi jarang menggambarkan perasaan.

Hal ini selari dengan pandangan Megat Fadzly yang turut berpendapat bahawa cetusan rasa adalah pemula kepada proses pengkaryaan.

Didatangkan khas dari Makassar, Indonesia, duo Ruang Baca yang dianggotai pasangan suami isteri, Viny Mamanto dan Saleh Hariwibowo@Ale menekankan kefahaman terhadap gagasan sesebuah lagu amat penting agar lirik dan muzik yang seimbang dapat memberikan kesan dalam hati pendengar.

Bengkel Penulisan Lagu: Ruang Kata Teman Baik yang menampilkan tiga pemuzik profesional dari Malaysia dan Indonesia yang berlangsung pada 10 hingga 15 Disember 2024.

Berbicara mengenai Ruang Kata Teman Baik, Vivy turut meluahkan rasa berbesar hatinya pada Pekan Teman Baik kerana memberikan peluang buat mereka bersemuka dengan dua penulis lagu yang sudah mencipta nama di industri muzik Malaysia.

Menganggap dirinya sebagai orang yang bertuah kerana mendapat pendedahan langsung dengan pendengar Malaysia, duo Ruang Baca berharap acara sebegini dapat membuka peluang untuk kerjasama selanjutnya, bukan sahaja dalam persembahan tetapi juga kebarangkalian untuk penciptaan lagu yang menggabungkan pemuzik dari kedua-dua buah negara.

Pekan Teman Baik merupakan festival seni persembahan anjuran Rumah Ripta melalui kerjasama Rumata Artspace, Makassar Writers, Reda Coffee dan Antologi Manusia.

Selain bengkel, terdapat juga acara persembahan yang dijadualkan berlangsung di beberapa buah lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang berminat menyertai acara Pekan Teman Baik yang berlangsung sehingga 15 Disember 2024, maklumat acara dan pendaftaran yang lebih lanjut anda boleh layari secara terus menerusi Instagram Pekan Teman Baik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi