Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Pasukan pantun Universiti Teknologi MARA (UiTM), Gantih Lir Sari berjaya mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pantun Senandung Bahasa 2024 yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 27 dan 28 November 2024.
Pertandingan berprestij anjuran bersama Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ini bertujuan untuk mengangkat seni pantun sebagai warisan budaya yang kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
Pasukan Gantih Lir Sari, di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Muhammad Hariri Nasir, berjaya mengangkat satu daripada pemantunnya, Nurdianah Anisha Awang Samsudin sebagai Pemantun Terbaik Pertandingan.
Keupayaan Nurdianah dalam menyulam kata-kata dengan penuh gaya dan makna telah membuktikan kemahirannya sebagai seorang pemantun yang luar biasa dan penuh karisma.
Melalui pertandingan ini, kreativiti setiap kumpulan yang berentap untuk menyandang gelaran juara dilihat berjaya menggabungjalinkan seni tradisi pantun dan kreativiti moden untuk mencetuskan kelangsungan warisan budaya dalam dunia kontemporari.
Terdiri daripada tiga pemantun muda yang berbakat besar, Gantih Lir Sari bukan sahaja telah mengharumkan nama UiTM, tetapi juga turut mengukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai tunjang budaya bangsa.