Diterbitkan pada 25 November 2024, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) telah menganjurkan Majlis Penganugerahan Pengkarya PENAMA Wibawa 2024 yang berfungsi sebagai pelantar untuk menghimpunkan tokoh sastera dan pengkarya kelahiran Melaka di bawah satu bumbung yang sama.

Siti Sarah Jantan (Sarah Ross) dan Airul Affendi Ali merupakan dua penulis muda kelahiran Melaka yang berjaya dinobatkan sebagai Anugerah Sastera Tunas PENAMA.

Penghasilan karya yang konsisten daripada dua penulis ini berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sahaja penulis muda yang prolifik tetapi juga penulis yang mampu menghasilkan karya yang bermutu tinggi.

Antara rumah penerbitan tempatan yang berjaya mereka tembusi termasuklah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  bagi majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta, Berita Harian ruangan Sanggar, Mingguan Malaysia dan Suara Sarawak.

Dalam pada itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat, Universiti Malaya dan Ijazah Kejuruteraan Kimia (Teknologi Alam Sekitar), Universiti Kuala Lumpur ini berjaya membuktikan bahawa latar belakang akademik yang berbeza bukanlah halangan untuk menyerlah dalam dunia sastera tempatan.

Sebaliknya, perbezaan tersebut berjaya memperkayakan perspektif dan memberikan keunikan kepada karya-karya mereka, sekali gus menjadikannya relevan di pelbagai pelantar digital mahupun bercetak.

Majlis penganugerahan itu telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd Riduwan Wahab, mewakili Ketua Pengarah DBP, Dr. Haji Hazami Jahari.

Majlis Penganugerahan Pengkarya PENAMA Wibawa yang berlangsung pada 23 November 2024, bertempat di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, Melaka ini turut melibatkan ahli PENAMA sebagai jemputan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi