Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Rentetan daripada Bengkel Penulisan Artikel siri lalu, Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam telah menganjurkan Bengkel Penulisan Artikel Siri Kedua yang berlangsung pada 14 November 2024.
Sebagai satu usaha berterusan yang berjaya menuai respons positif dalam kalangan pelajar, APB menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu untuk membimbing para pelajar dalam penulisan artikel.
Bengkel yang dianjurkan melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini membawakan jemputan khas penulis mampan tempatan, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai S.M. Zakir untuk berkongsi pengalaman beliau yang besar dalam bidang berkaitan penghasilan karya.
Sambutan daripada peserta melalui bengkel ini dilihat amat menggalakkan terutama sekali dalam kalangan pelajar APB, melalui hasil karya penulisan yang berjaya dihasilkan pada penghujung bengkel.
Melalui kejayaan bengkel ini, APB mengharapkan jalinan kerjasama yang terjalin bersama-sama DBP dalam usaha menyemarakkan rasa cinta pada bahasa Melayu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.
Bengkel Penulisan Artikel ini telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Pengajian Bahasa Melayu LG241, Dr. Rozaimah Rashidin dan Koordinator Bahasa Melayu, Puan Nor Azita Che Din serta pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di APB, UiTM Shah Alam.