Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya dengan menganjurkan program istimewa bertajuk “Tautan Tinta Penulis Utara: Semangat Nan Abadi”.
Acara yang menghimpunkan para penulis, penggiat sastera dan peminat bahasa di bawah satu bumbung susastera yang sama ini berlangsung bagi memperingati perjalanan, pencapaian serta sumbangan DBPWU kepada perkembangan kesusasteraan di wilayah utara.
Program yang dimulakan dengan ceramah bahasa oleh Mantan Ketua Pengarah DBP ketujuh, Dato’ A. Aziz Deraman lebih menekankan berkenaan komitmen DBPWU dalam mengangkat martabat bahasa dan sastera Melayu di peringkat kebangsaan.
Beliau memuji usaha berterusan dan dedikasi para penulis serta persatuan penulis yang bersama-sama memajukan dunia bahasa dan sastera Tanah Air dalam memastikan dunia sastera ini tidak lapuk dan hilang dek zaman.
Majlis diteruskan dengan forum sesi pertama bertemakan “Perjalanan 25 Tahun DBPWU: Perkembangan Persatuan Penulis dan Kemunculan Tokoh Penulis di Wilayah Utara” yang berlangsung meriah dengan kehadiran para penulis dan penggiat sastera di wilayah utara.
Forum yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Aziz Ishak daripada Persatuan Penulis Pulau Pinang turut menampilkan barisan ahli panel terkemuka dalam dunia penulisan antaranya termasuklah, YBrs. Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail (Persatuan Penulis Perlis), YBhg. Dato’ Haji Anuar Ahmad (Persatuan Penulis Pulau Pinang), Encik Abdul Rashid Ahmad Rafie (Lembaga Pembangun Sastera Perak), serta YBrs. Dr. Husairi Hussin mewakili Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).
Prof. Madya Dr. Nor Hasimah tegas menekankan sumbangan DBPWU yang banyak menyokong persatuan penulis dan memupuk bakat baharu yang akhirnya melahirkan tokoh-tokoh penulis yang dihormati.
Menyoroti sejarah perjalanan 25 tahun DBPWU bersama-sama persatuan penulis yang memainkan peranan penting dalam melahirkan tokoh penulis di wilayah utara, program ini menjadi medan perkongsian pengalaman dan perbincangan tentang cabaran serta peluang dalam dunia penulisan.