Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKredit foto: Perpustakaan Tuanku Bainun
Tanjong Malim – Program Bersama Penulis S. M. Zakir yang berlangsung baru-baru ini, disambut baik oleh seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan menerima hampir 900 penyertaan daripada pelajar sekolah dan universiti.
Penganjuran program tersebut telah menuai pelbagai reaksi positif daripada peserta kerana dilihat berjaya menyuntik semangat serta memberikan motivasi kepada penulis pemula yang mahu menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif tempatan.
Melalui program tersebut S.M. Zakir atau nama sebenarnya Syed Mohd Zakir Syed Othman sempat berkongsi pengalaman dan cabaran dalam dunia penulisan yang dihadapinya sebagai pemain industri.
Pemenang S.E.A. Write Award 2011 itu juga turut menekankan perihal kepentingan membina budaya membaca dan menulis agar pemikiran kritis serta kreatif dapat dikembangkan dalam kalangan generasi muda. Kongsinya,
Menulis merupakan satu daripada cara untuk mengabadikan budaya dan sejarah. Penting untuk penulis muda, menyambung karya yang telah dimulakan dan tidak meninggalkan karya itu berdiam sepi.
Program anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun yang berlangsung pada 7 November lalu, bertempat di Dewan SITC, UPSI, dilihat tidak pernah pudar dalam memartabatkan bahasa dan sastera tempatan untuk melahirkan generasi muda yang lebih menghargai dunia kesusasteraan di Malaysia.