Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pesta Buku Sarawak dan Festival Penulis Sarawak 2024 buat julung-julung kalinya dijalankan secara serentak dengan nama Sarawak Book Fair and Authors Festival (SBAF) 2024, pada tahun ini.
SBAF pada tahun ini akan berlangsung di tiga lokasi berbeza iaitu Bintang Megamall, Miri pada 24 hingga 27 Oktober, The Hills, Kuching pada 28 Oktober hingga 3 November 2024 dan Pustaka Negeri Sarawak, Sibu pada 7 hingga 10 November 2024.
Dilihat sebagai platform yang baik buat penulis tempatan menjalin rangkaian dengan penerbit, SABF juga turut mempromosikan industri penerbitan dan buku Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa dengan pelibatan hampir 24 pempamer.
Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PENAWAN) membuka tirai satu daripada program SABF iaitu Secangkir Teh Setapak Bandong dengan tajuk “Memperkasakan Wanita dalam Masyarakat melalui Penulisan”.
Pembuka tirai bagi bual bicara yang berlangsung di pentas utama SABF ini turut menampilkan Penasihat PENAWAN, Dr. Umi Kalthum Ngah dan Pengerusi PENAWAN, Puan Mahayati Ibrahim.
Menurut Dr. Umi, PENAWAN menyediakan platform kepada para wanita, khususnya yang berminat dalam dunia penulisan untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada pembaca, malah dapat menjadi nilai tambah dalam usaha memperkasakan para wanita.
Sepanjang SBAF Kuching berlangsung, sebanyak lima sesi Secangkir Teh Setapak Bandong yang dijalankan, antaranya termasuklah bual bicara berkaitan “Buku Robotik untuk Kanak-kanak” oleh barisan pensyarah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), “Biblioterapi sebagai Vitamin Jiwa” oleh Profesor Madya Dr. Wan Satirah Wan Mohd Saman dan “Dari Bilik Berita ke Pentas SBAF” yang menampilkan penulis novel thriller terkenal Ramlee Awang Murshid.