Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – “Novel fiksyen sains, Jaz untuk Dayana karya penulis muda, iaitu Lokman Hakim merupakan karyanya yang sangat futuristik dan sukar”, ujar S.M. Zakir dalam sesi Bicara Karya Penulis Sarawak yang berlangsung di Pentas Utama, The Hills pada pagi semalam.
Novel ini memperlihatkan kekuatan dan keistimewaannya yang tersendiri. Karya ini juga yang merupakan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memiliki muatan falsafah dan bersifat melampaui zaman.
Novel ini memperlihatan idea Lokman dalam memaparkan dunia yang kacau bilau.
Karya ini memperlihatkan dunia distopia yang terkandung dalamnya keadaan ketidakstabilan politik dan ekonomi serta peningkatan jenayah dan kemiskinan. Ujar S.M. Zakir:
Novel ini juga mengingatkan saya kepada filem The Matrix. Cerita dalam novel ini dengan filem tersebut sangat mirip dan selari.
Selain itu, beliau juga mentafsir novel ini menerusi pandangan ahli falsafah Perancis, iaitu Jean Baudrillard. Menurutnya, Baudrillard mengemukakan pandangan bahawa dalam era pascamoden, manusia dipindahkan daripada dunia realiti kepada dunia simulasi.
Keadaan ini menyebabkan realiti yang dilihat sebenarnya ialah simulasi atau imej yang dipancarkan daripada bayangan realiti.
Keadaan dunia simulasi dan bayangan realiti inilah yang menjadi landasan cerita dalam karya Lokman. Jelasnya:
Jaz untuk Dayana ini seolah-olah memerangkap masa.
Para pembaca boleh mendapatkan novel terbitan DBP ini menerusi pembelian dalam talian di laman web DBPNiaga