Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSik – Galeri Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Haji Shahnon Ahmad telah dirasmikan di Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Sik, Kedah bersempena Program Memperkasa Sasterawan Negara.
Majlis perasmian galeri tersebut disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembelajaran, Unit Sains Sosial Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Puan Nornisa Asmaran, yang menekankan kepentingan pemikiran Sasterawan negara Shahnon Ahmad dalam membentuk sastera tanah air.
“Galeri ini bukan sekadar penghormatan tetapi juga sebagai pemangkin untuk generasi muda memahami kesusasteraan dalam konteks perubahan sosial dan budaya,” Kata beliau dalam ucapannya.
Sementara itu, isteri Allahyarham, Datin Wan Fatimah Haji Wan Salleh, turut berkongsi pandangan beliau mengenai pembukaan galeri yang mengabadikan memori suaminya.
Arwah sering menyebut, sastera adalah cerminan jiwa bangsa
“Oleh itu, saya berharap galeri ini dapat memberikan inspirasi kepada pelajar dan pencinta sastera untuk terus berkarya dengan penuh semangat,” katanya dengan penuh emosi.
Terdahulu, galeri ini ditubuhkan untuk mengabadikan legasi karya Sasterawan Negara Dato’ Dr. Haji Shahnon Ahmad.
Beliau merupakan seorang tokoh besar dalam dunia kesusasteraan Malaysia dan galeri ini menampilkan pelbagai koleksi karya, manuskrip asal dan memorabilia peribadi yang berkaitan dengan perjalanan kreatifnya.
Selain perasmian galeri, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan sajak oleh pelajar dan guru.
Dengan terdirinya Galeri Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ini, diharapkan agar legasi beliau terus dihargai dan disemai dalam jiwa masyarakat terutama generasi muda yang akan mewarisi dunia kesusasteraan negara.
Para hadirin juga berpeluang mendengar wacana khas mengenai pengaruh dan impak Shahnon Ahmad dalam dunia kesusasteraan Malaysia yang disampaikan oleh tokoh-tokoh sastera terkenal di Negeri Kedah.
Majlis tersebut dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk keluarga Allahyarham, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta warga sekolah dan masyarakat setempat.