Diterbitkan pada 17 Oktober 2024, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Pertandingan Melagukan Syair peringkat Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Abdul Halim berlangsung dengan meriah, menyerlahkan kreativiti dan bakat pelajar dalam menghayati warisan kesusasteraan tradisional.

Pertandingan yang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Karnival Akademik MADANI 2024 bertujuan memupuk minat para pelajar terhadap seni tradisi bersyair.

Malah pertandingan ini dapat memperkukuh penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.

Menurut Ketua Pengarah DBP Cawangan Utara, En Armin Azhari Salleh program sebegini penting dalam memastikan seni melagukan syair yang terus hidup dan relevan di era moden ini.

“Kita berbangga melihat generasi muda dapat menjiwai warisan bangsa ini, moga tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.”

Pertandingan ini turut melibatkan juri profesional, iaitu Dr. Husairi Hussin dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM), dan Puan Norazean Abdullah, Pegawai Koakademik Teknikal Kebangsaan Bahasa Melayu untuk mengadili seramai 13 orang peserta.

Dr. Husairi Hussin menyatakan melagukan syair memerlukan penghayatan yang mendalam serta kefahaman terhadap makna di sebalik setiap bait.

“Saya gembira melihat bakat-bakat baharu yang berjaya menzahirkan keindahan bahasa Melayu”

“Sebagai generasi muda, jika mereka tidak meneruskannya sudah pasti keindahan dalam seni melagukan syair ini akan hilang begitu sahaja.”

Selepas itu, beliau menyatakan kekaguman terhadap persembahan kreatif para peserta yang berjaya mengadaptasi syair dengan gaya tersendiri tanpa meninggalkan nilai estetika tradisional.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi