Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJitra – Barisan pembimbing yang terkenal dalam bidang sastera seperti Dr. Husairi Hussin, Dr. Nazreen Shahrul Hamed, Puan Zalina Ahmad, Puan Noor Hayati Haya, Encik Sanusi Din, Puan Zaheera Ibrahim dan Cikgu Meera telah berkongsi ilmu dan tip dalam menghasilkan puisi yang baik serta bermutu.
Kem Gurindam Jiwa anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) ini dimulakan oleh Dr. Husairi Hussin yang diadakan di Inap Desa Mak Su, baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa puisi yang baik perlu menyentuh hati pembaca melalui bahasa yang ringkas tetapi sarat dengan makna serta sesuai dengan perubahan zaman.
Beranilah untuk bereksperimen dalam berkarya, namun jangan lupa akar budaya bangsa kita.
Selain itu, beliau juga menambah bahawa kekuatan puisi terletak pada keupayaannya menyampaikan emosi secara mendalam dan halus.
Selepas itu, Puan Zalina Ahmad mengambil alih dan beliau mengupas tentang puisi tradisional, dengan menyatakan bahawa; “puisi tradisional Melayu adalah warisan budaya yang perlu dijaga dan diwariskan kepada generasi muda sebagai pengikat identiti bangsa.”
Menurut beliau lagi, usaha mengekalkan keaslian puisi ini adalah amat penting dalam konteks globalisasi yang pantas berubah.
Selanjutnya, pengisian dalam program ini diteruskan oleh Puan Zaheera Ibrahim yang memfokuskan kepada aspek penyampaian puisi.
Beliau mengingatkan bahawa cara penyampaian puisi itu sama penting dengan isinya. Penjiwaan yang mendalam mampu menghidupkan bait-bait puisi.
Setelah itu, peserta kem turut berkongsi pengalaman mereka sepanjang program ini.
Seorang peserta, iaitu Azizi Akram menyatakan rasa terujanya dapat mengikuti program seperti ini.

Beliau sangat bersyukur kerana dapat belajar secara langsung daripada pakar-pakar puisi, malah bukan sekadar mengajar teknik tetapi turut memberi semangat untuk terus berkarya.
Kem ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam usaha menyemai minat terhadap kesenian puisi, di samping memelihara warisan budaya Melayu yang semakin berkembang.
Terdahulu, Kem yang dianjurkan oleh ASASI dengan kerjasama GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghimpunkan seramai 30 peserta.
Peserta yang mengikutinya terdiri daripada ahli ASASI, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman diberi pendedahan mendalam tentang pembinaan puisi moden dan tradisional serta teknik penyampaian yang berkesan.