Diterbitkan pada 9 Oktober 2024, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru Kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghasilkan projek transliterasi braille “Baca Celik Hati: projek Buku Braille dan Audio.”

Majlis pelancaran projek telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Ilias di Dewan Bankuet, Bangunan Canselori, baru-baru ini.

Projek ini telah memilih lima karya Sasterawan Negara (SN) Siti Zainon Ismail terbitan DBP untuk dibukukan dalam usaha menggalakkan pembacaan dan cakna ilmu terhadap murid tunanetra.

Antara karya yang terpilih adalah Kampung Pulau Kelapa, Rumah Semut Kuala Abai, Kebun Rama-rama, Mimpi Si Ikan Kaloi dan Kolam Teduh Biru.

Koleksi buku braille mengandungi rangkuman sajak indah karya Siti Zainon Ismail ini bukan sahaja boleh dibaca dengan tulisan braille tetapi juga didengari secara audio melalui laman web perpustakaan UTM atau melalui imbasan kod QR.

Usaha yang dilaksanakan ini membuka peluang baharu kepada semua golongan berkeperluan khas untuk mendekati karya sasterawan negara.

Usai pelancaran, majlis diteruskan dengan forum khas Pentas Budaya Sasterawan Negara: Keindahan Adab Sopan dan Gelora Telok Belanga yang menampilkan SN Siti Zainon Ismail sebagai pembicara.

Beliau telah mengupas tentang sejarah dan keunikan busana Teluk Belanga yang menjadi pakaian tradisi orang Johor yang akhirnya menjadi pakaian kebangsaan.

Dalam ulasannya, Baju Melayu Teluk Belanga mempunyai beberapa tatacara pemakaian, iaitu dagang dalam dan dagang luar.

“Dagang dalam ialah baju Melayu dimasukkan ke dalam samping manakala dagang luar merujuk pada baju Melayu yang dilepaskan ke luar kain samping”

“Baju Melayu dagang dalam dipakai oleh golongan atasan seperti kerabat diraja dan pembesar istana pada zaman feudal dan identiti baju Melayu Teluk Belanga dagang dalam yang diperagakan oleh kerabat diraja Johor melambangkan kerendahan hati dan sifat setara dengan rakyat jelata.” Jelas SN Siti Zainon Ismail dengan lebih mendalam.

Seterusnya, beliau juga menyatakan Baju Melayu Teluk Belanga bagi kerabat diraja diperagakan dengan baju dan seluar yang berbeza warna manakala warna sedondon dipakai oleh rakyat biasa.

SN Siti Zainon juga mengupas aspek ‘gelora’ pada baju kurung wanita Melayu di Johor mempunyai maksud tersirat.

Baju Kurung ini biasanya dipadankan dengan kain sarung yang mempunyai ikatan ‘ombak beralun’ iaitu kain yang dipilat-lipat (berombak-ombak) pada bahagian kanan badan.

Di akhir sesi bicara, beliau telah melakarkan lukisan secara spontan sambil diiringi persembahan deklamasi sajak berjudul “Kasih Ibu” oleh Gilbert Lau Zi Xiang, murid Sek. Keb. Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP,  Tuan Haji Mohd. Salahuddin Mohamed; Pengarah DBPWS  Tuan Haji Mohd. Riduwan Wahab.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi