Diterbitkan pada 28 September 2024, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kulim – “Penulis muda hari ini merupakan tunjang kepada masa hadapan sastera negara. Bengkel Penulisan Bakat Muda sememangnya memberikan ruang untuk mereka meneroka potensi dan menyumbang kepada perkembangan karya sastera Malaysia,” demikian kata Penolong Kanan Kokurikulum Kolej Tingkatan Enam Kulim, Sobri Tajul Aros dalam ucapan perasmiannya dalam Bengkel Penulisan Cerpen dan Novel.

Bengkel tersebut dengan tema “Meneroka Bakat Baharu di Kedah” telah berjaya dianjurkan di Kolej Tingkatan Enam, Padang Serai Kulim (KTEK) dengan pelibatan sebanyak 70 orang peserta yang dilihat berpotensi dalam melahirkan karya berkualiti sekali gus menyumbang kepada dunia penerbitan negara.

Program yang berlangsung selama sehari ini bertujuan untuk mengasah bakat penulisan muda khususnya dalam kalangan pelajar yang bakal menjadi pelapis kepada dunia kesusasteraan negara.

Ketua Editor Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Mohd Azam Juhari berkongsi berkenaan peluang penerbitan  DBP.

Selain itu, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Mohd Azam Juhari dalam sesi khasnya turut berkongsi berkenaan peluang penerbitan melalui Bahagian Buku Sastera DBP.

“Kami sentiasa mengalu-alukan karya baharu, khususnya daripada penulis muda yang penuh dengan semangat dan juga pemikiran baharu dalam karya mereka. Oleh itu, DBP sentiasa menawarkan platform untuk memupuk bakat dan memastikan karya sastera tanah air terus subur,” ujarnya.

Wildan Haya (Norhayati Haya) merupakan seorang daripada penceramah yang dijemput untuk berkongsi pengalaman penulisan dalam bengkel ini.

Melalui bengkel ini, Norhayati Haya atau lebih dikenali sebagai Wildan Haya, seorang penulis aktif dari Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) turut berkongsi pengalaman dan teknik penulisan cerpen kepada para peserta. Kongsinya,

Menulis memerlukan dedikasi dan disiplin yang tinggi. Maka bakat baharu harus diberi peluang untuk berkembang dalam persekitaran yang menyokong.

Bengkel Penulisan Bakat Muda merupakan usaha berterusan pihak ASASI dan DBP dalam melahirkan lebih ramai lagi penulis muda berbakat yang berpotensi menyumbang kepada pembentukan negara yang berilmu terutama dalam penghasilan karya sastera dalam kalangan generasi muda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi