Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOleh: Wan Mohammad Afifi dan Marliana Shamsir
Ipoh – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), melalui Bahagian Buku Sekolah telah mempertaruhkan karya digital pertama yang berbentuk aplikasi pembelajaran iaitu Buku Teks Digital Interaktif “Cekap Baca” yang dipertandingkan dalam kategori terbuka bagi i-MInD Pamer Bahan Pengajaran melalui Persidangan i-MInD 2024.
Sesi penilaian i-MInD Pamer Bahan Pengajaran merupakan satu daripada acara penting dalam Persidangan i-MInD 2024. Acara ini juga turut dilihat sebagai sebuah wahana pengkomersialan produk secara individu atau berkumpulan yang memberikan dapatan faedah secara meluas kepada masyarakat.
Melalui tema “Membangun Minda Madani dan Karakter melalui Pendidikan”, Persidangan i-MInD pada kali ini telah berjaya menjadi medan buat para pendidik, pemikir dan inovator dalam bidang pendidikan untuk saling berinteraksi serta mempersembahkan hasil inovasi masing-masing.
Persidangan yang dihadiri oleh siswa dari Institut Perguruan Malaysia (IPGM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan peserta awam ini telah berlangsung selama tiga hari, bermula dari 23 hingga 25 September bertempat di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh.
Selaku penganjur utama persidangan, IPG Kampus Ipoh telah diberikan mandat bersama-sama IPG Kampus Ilmu Khas, IPG Kampus Pengajian Islam, IPG Kampus Bahasa Melayu dan IPG Kampus Bahasa Antarabangsa dalam menjayakan Persidangan i-MInD 2024.
Ucaptama yang bertajuk “Pembentukan Karakter Seimbang melalui Pendidikan Manusiawi” telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, melalui wakilnya, Timbalan Rektor Kanan IPGM, Puan Anis Alisya Abdullah yang sekali gus merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024.
Pelbagai acara turut diadakan sepanjang persidangan berlangsung, antaranya termasuklah, i-MInD Inovasi, i-MInD Pamer, i-MInD Hibur, i-MInD Citra, i-MInD Ucaptama, i-MInD Sembang dan Seminar Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa (SPPA).
Turut berlangsung dalam majlis yang sama, Kolokium Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) 2024 yang merupakan acara tahunan buat para siswa guru IPGM.