Diterbitkan pada 21 September 2024, 00:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Tinggi – Program Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK) dan Minggu Penulis Remaja (MPR) pada kali ini menghimpunkan hampir 50 orang peserta dari seluruh negara yang berpotensi menjadi pelapis dalam dunia kesusasteraan tanah air.

“Saya lihat ada peningkatan dari segi kemahiran dan kreativiti dalam kalangan peserta yang terpilih pada tahun ini.”

“Pada tahun ini juga, mereka perlu menghasilkan dua cerpen dengan 700 patah perkataan berbanding dengan tahun lepas, iaitu hanya satu cerpen dengan 500 patah perkataan,” ujar Puan Salina Ibrahim selaku pembimbing peserta Program MPKK.

Beliau menjadi pembimbing bagi penulisan cerpen bersama-sama Encik Fairul Pujangga bagi penulisan puisi, manakala untuk Program MPR pula, para peserta dibimbing oleh Puan Sayidah Mu’izzah bagi penulisan cerpen dan Dr. Shamsudin Othman bagi penulisan puisi.

Selain itu, para peserta juga berpeluang mengikuti sesi perkongsian bersama-sama editor yang membicarakan tentang peluang penulisan dalam majalah dan panduan menjadi penulis yang baik.

Editor Tunas Cipta, Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob semasa Sesi Bersama-sama Editor yang berlangsung pada hari ini.

“Banyakkan membaca karya sastera dalam dan luar negara serta cuba terokai karya penulis muda luar negara di bawah umur 40 tahun.

“Bukan hanya setakat membaca, tetapi cuba juga untuk membezakan setiap karya yang dibaca tersebut dan selidiki gaya, teknik dan kemahiran mereka dalam menggayakan cerita,” ujar Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob, editor Tunas Cipta semasa sesi soal jawab berlangsung.

Pada tahun ini, Program MPKK dan MPR berlangsung selama lima hari bermula pada 17 September 2024 hingga 21 September 2024, di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT), Bukit Tinggi, Pahang.

Sebagai rekod, para peserta Program MPKK dan MPR terdiri daripada mereka yang pernah menulis dan menerbitkan karya kreatif dalam mana-mana medium penerbitan selain mempunyai pengalaman menulis pada pelbagai peringkat.

MPKK dan MPR merupakan sebuah program tahunan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertujuan untuk membina dan melahirkan generasi penulis muda yang berilmu, berdaya cipta  dan dinamik dalam menghasilkan karya kreatif.

Antara penulis mapan pada hari ini yang lahir daripada program ini termasuklah Zaen Kasturi, Ahmad Patria Abdullah, Faisal Tehrani, Rahimidin Zahari dan Nisah Haji Haron.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi