Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Pelaksanaan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2024 Peringkat Negeri Sarawak merupakan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menyokong perkembangan seni penulisan kreatif serta mengasah bakat menulis dalam kalangan remaja.
Melalui program seperti ini, MPR bukan sahaja menjadi pelantar untuk mengenal pasti penulis muda yang bakal menjadi pelapis masa hadapan, tetapi juga turut mengembangkan bakat kepengarangan mereka dari masa ke masa.
Program yang berlangsung pada 6 hingga 8 September bertempat di Hotel Serapi Kuching itu telah melibatkan penyertaan 23 orang pelajar dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
Antara institusi pendidikan yang terlibat termasuklah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, IPG Kampus Tun Abdul Razak, IPG Kampus Rajang, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Mara Cawangan Samarahan, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh barisan pembimbing berpengalaman dalam bidang penulisan kreatif, iaitu editor Tukang Puisi dan pemilik rumah penerbitan Kata-Pilar, Dr. Fahd Radzy selaku pembimbing puisi; cerpenis kelahiran Pulau Pinang, Encik Azrin Fauzi sebagai pembimbing cerpen dan novelis genre fantasi, seram dan misteri, Tey Marzuki selaku pembimbing penulisan novel.
Dr. Fahd Radzy melalui sesi bimbingan puisi turut menekankan tentang kepentingan pemilihan citra yang seragam bagi menghasilkan puisi yang berkualiti tinggi dengan menerapkan modul Sains menulis puisi, pengelasan puisi, ciri puisi yang baik, serta pemilihan diksi yang tepat dalam menyampaikan pemaknaan kepada pembaca.
Sementara itu, dalam sesi bimbingan cerpen, Azrin Fauzi lebih menyentuh hal-hal berkaitan pembinaan plot, yang membina “sebab dan akibat”, kepentingan penggunaan genre yang tidak lari daripada bentuk bercerita dan penggunaan laras yang sama.
Pada sebelah malam sesi perkongsian bebas tentang drama, filem dan buku kegemaran melalui sesi bimbingan novel oleh Tey Marzuki dilihat turut membantu peserta untuk mengenal pasti plot dalam menghasilkan sebuah cerita yang menarik.
Sesi terakhir MPR 2024 Peringkat Negeri Sarawak telah diteruskan lagi dengan Sesi Bicara Tokoh Penulis Negeri Sarawak sebagai program penutup yang dikendalikan oleh Saidatul Faiqah Samasu dengan menampilkan barisan penulis mapan tanah air iaitu, Ja’afar Hamdan, Stefanie Kaso dan Benedict Samling.