Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOleh: Nur Hafizah Shaharom
Kuala Lumpur – “Tiada satu pun universiti di Malaysia yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda khusus dalam bidang pereka pencahayaan atau pereka bunyi,” demikian ucap Penerima Anugerah Khas Tokoh Pengurusan Seni 2024, YBhg. Ts. Is. Dr. Zulkifli Ab Rashid.
Jelas beliau, di sebalik kejayaan sesebuah karya yang dipertontonkan kepada umum, penghargaan seharusnya diberikan bukan sahaja kepada pelakon yang memberikan nyawa kepada sebuah cerita semata-mata, tetapi juga protagonis tidak berdendang yang turut berhempas-pulas memberikan yang terbaik.
Kejayaan sesebuah karya bukan hanya terletak pada pelakon, tetapi juga kepada individu yang bekerja keras di belakang tabir dalam memastikan karya tersebut diterima dengan baik oleh penonton.
Demikian, antara inti pati yang diucapkan oleh YBhg. Dr. Zulkifli Ab Rashid menerusi siaran Podcast Sembang Maya anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk “Protagonis di Sebalik Tabir Industri Kreatif “, pada 10 September, yang lalu.
Tambah beliau lagi, sekiranya seorang pelakon sedang melakonkan babak menangis di bawah cahaya lampu yang terang-benderang dalam sesebuah pementasan sudah tentu emosi sedih tidak akan sampai ke hati para penonton, tanpa bantuan pencahayaan yang mantap.
“Namun begitu, dengan garapan yang sempurna menerusi muzik latar yang mendayu-dayu dan sinaran lampu yang malap, hal inilah yang mempengaruhi penonton sekali gus menimbulkan emosi sedih ketika menyaksikan babak tersebut,” ujar beliau dengan lebih lanjut.
Golongan inilah (para pengurus dan pereka di belakang tabir), yang berhempas-pulas berfikir dan membuat kajian untuk memastikan hasil akhir yang dipersembahkan menepati cita rasa penonton.
Dalam pada masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan untuk diwujudkan sekolah khas supaya petugas di belakang tabir mendapat pendidikan formal berkaitan bidang mereka sebelum terjun ke industri kreatif.
Dengan cara ini, industri kreatif akan menjadi matang, seterusnya pemikir industri akan dapat menghasilkan karya yang berkualiti pada masa akan datang.