Diterbitkan pada 5 September 2024, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Dalam usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, Perpustakaan Albukhary International University (AIU) telah menganjurkan Bengkel Puisi Kenegaraan pada 4 September lepas.

Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Pensyarah Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia, Dr. Husairi Hussin.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perpustakaan AIU yang berfokus kepada pengayaan nilai-nilai kenegaraan melalui pendidikan dan seni. Ketua Pustakawan AIU, Syuhada Ali berkata,

Program CSR ini bertujuan untuk menyemai kecintaan kepada negara melalui medium puisi dan kami amat berbesar hati melihat sokongan yang diberikan oleh para pelajar dan staf yang hadir sebagai tanda sokongan mereka buat kami.

Melalui bengkel ini Dr. Husairi Hussin turut  berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam dunia penulisan puisi dengan menekankan betapa pentingnya seni ini sebagai wadah untuk meluahkan rasa cinta kepada tanah air.

Dr. Husairi turut berkata bahawa, puisi merupakan cerminan jiwa bangsa dan melalui bengkel ini, saya berharap para peserta dapat menghayati betapa pentingnya peranan mereka dalam menyemarakkan semangat kebangsaan melalui karya sastera.

Bengkel puisi yang berlangsung selama tiga jam ini telah menarik sebanyak 70 orang peserta dari Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah serta staf dan pelajar AIU.

Penganjuran Bengkel ini dilihat bukan sahaja menyediakan pelantar kepada penulis muda untuk berkongsi teknik penulisan puisi tetapi juga turut memberikan peluang dan ruang buat mereka menghasilkan puisi sendiri yang berteraskan semangat patriotik.

Kejayaan Bengkel Puisi Kenegaraan pada kali ini telah membuktikan dalam usaha untuk memartabatkan sastera dan budaya kebangsaan, AIU telah melangkah dengan lebih maju melalui kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dengan penulis tempatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi