Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuantan – Persembahan Khas Pembukaan bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2024 yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 telah menggabungkan persembahan tarian pembukaan, persembahan deklamasi sajak dan persembahan tempur tanpa senjata berkonsepkan “Jiwa Merdeka” yang telah diselaraskan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Pahang, Nurwati Abdul Wahab dengan melibatkan sebanyak 100 orang peserta.
Dalam persembahan tersebut, Pegawai Tadbir di Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid, turut mendeklamasikan sajak berjudul “Jiwa Merdeka” nukilan bersama Nurwati Abdul Wahab, Sapinah Ismail dan Ayzlinda Abu Bakar dengan penuh penghayatan dan berjaya menyentuh hati khalayak yang hadir.
Sementara itu, persembahan tarian bagi Sambutan Hari Kebangsaan ini telah dijayakan oleh kumpulan kesenian JKKN Negeri Pahang, kumpulan Kesenian Negeri Pahang, Briged Budaya Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang JKKN Negeri Pahang, kumpulan Aria Empire Elit, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Indera Mahkota, Sekolah Kebangsaan Tasik Chini, Sekolah Kebangsaan Gambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Triang.
Selain itu, persembahan tempur tanpa senjata pula telah dijayakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diselaraskan oleh Sarjan Hakizol Othman dari 4 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja Mekazine.
Persembahan Khas Pembukaan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 itu telah dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dif-dif kehormat dan seluruh rakyat negeri Pahang yang hadir.
Kemeriahan Hari Kebangsaan ke-67 pada tahun ini bukan sahaja turut dirasai oleh rakyat negeri Pahang, tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia dengan acara Sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan secara serentak melibatkan semua lapisan masyarakat pelbagai agama, bangsa, darjat dan kedudukan di Dataran Putrajaya.
Sambutan gilang-gemilang ini secara tidak langsung turut memaparkan perpaduan rakyat Malaysia dengan semangat patriotisme yang tinggi dalam diri setiap warga.