Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Sebuah pementasan Teater Muzikal Kanak-kanak Kunci 5K arahan dan penulisan skrip oleh guru Tabika Perpaduan (TP) Petaling, Azizah Hussain telah diadakan sempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 Plenary Hall, PICC Putrajaya.
Teater tersebut mengisahkan pengembaraan imaginasi sekumpulan lima sekawan dalam misi mencari kepentingan dan erti rukun negara.
Sebanyak 21 orang murid TP yang berusia lima hingga enam tahun dan sebanyak 11 orang jurulatih dari Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri Selangor telah terlibat dalam pementasan yang diketuai oleh Cikgu Hairizah Mahmood.
Menurut Cikgu Hairizah ketika diwawancara oleh Tunas Cipta, sepanjang latihan Teater Muzikal Kunci 5K ini berlangsung, pelbagai proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkaitan Rukun Negara turut diterapkan dalam Modul Rukun Negara, yang mana modul tersebut merupakan hal yang wajib bagi pelaksanaan PdP di Tabika Perpaduan seluruh negara.
Pengarah Unit Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional (KSIN), Puan Fairojibanu merupakan insan yang mencetuskan beberapa elemen utama berkaitan Malaysia sebelum penghasilan naskhah.
Elemen utama yang dilihat antaranya termasuklah, prinsip Rukun Negara, Hari Kemerdekaan, bunga kebangsaan Malaysia (Bunga Raya), kepelbagaian kaum dan kepelbagaian bahasa serta mercu tanda Malaysia.
Pementasan teater ini merupakan satu daripada contoh pelbagai bentuk PdP Rukun Negara yang boleh dilaksanakan sama ada di peringkat kelas, daerah, negeri mahu pun kebangsaan.
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional merupakan sebuah organisasi yang telah mewujudkan modul Rukun Negara sebagai satu kelebihan modul tambahan khas dalam pendidikan awal kanak-kanak di Tabika Perpaduan seluruh negara bagi memupuk semangat patriotisme seawal usia empat, lima dan enam tahun.
Pengarahan dan penulisan skrip kreatif yang telah berjaya diimplementasikan oleh Azizah Hussain kepada guru Daerah Petaling dan murid yang terlibat turut mengguna pakai modul seni kreatif teater kanak-kanak untuk prasekolah yang dibangunkan sendiri oleh beliau mengikut kesesuaian berdasarkan Teori Dramaturgi dan Teori Pengajaran dan Pembelajaran.
Dengan menekankan elemen teknologi digital dalam sinografi, pencahayaan, kesan bunyi dan muzik, hal ini merupakan sebuah cabaran besar baginya yang bergelar seorang guru.
Namun, pengalaman ini juga merupakan dapatan ilmu dan pengalaman yang boleh memberikan impak untuk dikongsikan kepada semua murid, guru dan penggiat seni kanak-kanak tempatan pada masa akan datang.
Modul yang digunakan ini merupakan satu proses “pilot project “ dalam penyelidikan berasaskan seni bagi pengajian Ijazah Sarjana Kedoktoran (Phd) Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Naskhah Teater Muzikal Kanak-kanak Kunci 5K ini juga akan dibukukan bagi kegunaan semua lapisan masyarakat sebagai bahan bacaan, PdP dan aktiviti seni kreatif sama ada di sekolah, rumah serta semua penggiat seni teater kanak-kanak.