Diterbitkan pada 1 September 2024, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Telupid – “Seiring dengan inisiatif kerajaan Malaysia untuk menanam 100 juta buah pokok bagi tempoh 2021 hingga 2025, Sabah sendiri telah menyahut seruan dengan sasaran penanaman sebanyak 40 juta buah pokok,” demikian ucap Timbalan Ketua Konservator, Jabatan Perhutanan Sabah, YBrs. Dr. Joseph Tangah mewakili Ketua Konservator Hutan, YBhg. Datuk Frederick Kugan bersempena dengan Pertandingan Pidato dan Kuiz Perhutanan Peringkat Wilayah Sandakan, hari ini.

Jelas beliau, pertandingan yang mengangkat tema “Pokok Itu Sumber Kehidupan Kita”, diharapkan dapat menarik sokongan komuniti bagi menjayakan kempen ini, sekali gus  dapat memberikan kesedaran tentang kepentingan hutan buat masyarakat.

 

Johan bagi Pertandingan Pidato dan Kuiz Kehutanan pada tahun ini telah menjadi milik Hannys Maisarah Idayu Hussne dari SMJK Tiong Hua, Sandakan, Sabah.
Barisan pemenang bagi Pertandingan Pidato dan Kuiz Perhutanan bagi Peringkat Wilayah Sandakan, Sabah.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam, Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, Karim Haji Abdul Samad dalam majlis yang sama berkata, Jabatan Perhutanan Sabah telah mengambil langkah yang proaktif melalui pertandingan Pidato dan Kuiz Perhutanan Peringkat Wilayah Sandakan untuk melaksanakan pendidikan dan kesedaran awam terhadap penjagaan hutan secara berperingkat, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah menengah di seluruh Sabah.

Johan bagi Pertandingan Pidato dan Kuiz Kehutanan pada tahun ini telah menjadi milik Hannys Maisarah Idayu Hussne dari SMJK Tiong Hua, Sandakan dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan. Manakala, naib johan dinobatkan kepada Mellyana Atut dari SMK Pamol, Beluran dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM400 berserta sijil penghargaan dan tempat ketiga disandang oleh Tuan Nur Syuhadah Tuan Mohd Suhardam yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 berserta sijil penghargaan.

Penerima sagu hati pula dinobatkan kepada Nurhumaira Qistina Balqis Mohd Zulkiflee dan Christella Daud, dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100 berserta sijil penyertaan setiap seorang.

Pertandingan Pidato dan Kuiz Perhutanan peringkat akhir akan diadakan pada 2 Oktober 2024 di Kota Kinabalu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi