Diterbitkan pada 29 Ogos 2024, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keningau – Rezeki buat Farsha Vincent dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Keningau apabila beliau berjaya mengungguli Pertandingan Pidato Perhutanan Peringkat Wilayah Perhutanan Keningau.

Pertandingan tersebut merupakan anjuran Jabatan Perhutanan Sabah melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Arkib Negeri Sabah serta Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS).

Kemenangan Farsha Vincent, sekali gus berjaya menewaskan empat orang peserta lain yang turut mewakili daerah masing-masing dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Farsha Vincent merangkul gelaran johan bagi Pertandingan Pidato Perhutanan Peringkat Wilayah Perhutanan Keningau pada 21 Ogos yang lalu.

Manakala, naib johan peringkat wilayah telah dirangkul oleh Fedeleynieira Freddy dari SMK Tulid, Sook yang telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM400 dan tempat ketiga yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM300 menjadi milik Eva Isabel George dari SMK Tambunan.

 

Selain dianjurkan sebagai pengisian bagi Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam bersempena dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021 hingga 2025, penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk menyampaikan mesej tentang kepentingan menjaga hutan dan memperluaskan rangkaian maklumat kepada masyarakat, di samping membudayakan pemikiran kritis dan rasional dalam kalangan masyarakat pendidik apabila berhadapan dengan isu perhutanan semasa.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan Pertandingan Kuiz Perhutanan yang berjaya dirangkul pasukan dari SMK Tulid, Sook sebagai johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM900. Diikuti dengan pasukan SMK Tambunan sebagai naib johan dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM750, manakala tempat ketiga jatuh kepada pasukan dari SM St. Francis Xavier yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM600.

Peter Maurice Lidadun, Penolong Kanan Ketua Konservator Hutan (Perancangan dan Pengurusan) mewakili Ketua Konservator Hutan bagi menyempurnakan perasmian dan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Majlis ini turut dihadiri Penolong Kanan Ketua Konservator Hutan (Perancangan dan Pengurusan), Peter Maurice Lidadun mewakili Ketua Konservator Hutan bagi menyempurnakan perasmian dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Kedua-dua pertandingan ini akan diteruskan lagi bagi peringkat Wilayah Perhutanan Sandakan dan Tawau sebelum pertandingan akhir yang akan diadakan pada peringkat negeri pada 2 Oktober 2024 di Kota Kinabalu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi