Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Pelibatan deklamator cilik terus menyemarakkan bulan kemerdekaan 2024 melalui Sayembara Puisi Kemerdekaan Shah Alam (SPKSA) 2024, sekali gus menjadi galakan untuk lebih ramai generasi muda meluahkan rasa cinta kepada negara dengan pelibatan secara aktif dalam aktiviti yang boleh memupuk semangat patriotisme.
Auni Nadhirah Jasni dari Sekolah Kebangsaan Kopok, Johor telah dinobatkan sebagai johan Sayembara Puisi Kemerdekaan Shah Alam (SPKSA) 2024 dengan deklamasi sajak berjudul “Kitalah Tuan” karya Hashim Yaacob.
SPKSA 2024 anjuran Majlis Bandar raya Shah Alam (MBSA) yang berlangsung baru-baru ini telah berjaya menarik sebanyak 70 penyertaan dari seluruh negara semasa peringkat saringan secara rakaman video bagi tiga kategori utama iaitu dewasa, sekolah menengah dan sekolah rendah.
Melalui peringkat saringan awal, sebanyak lapan orang peserta telah dipilih bagi setiap kategori untuk bertanding di peringkat akhir yang kemudiannya akan dipertandingkan secara bersemuka di Laman Seni 7, Seksyen 7 Shah Alam.
Naib johan bagi SPKSA tahun ini menjadi milik Aryan Andika Azizuddin dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 13, Shah Alam, dengan sajaknya bertajuk “Kelopak Merdeka” karya Lin Haslinaz, manakala tempat ketiga disandang oleh Aisya Zahra Mohd Rizalmee dari Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan sajak bertajuk “Kitalah Tuan” karya Hashim Yaacob.
Selain daripada SPKSA, aktiviti lain turut diadakan dalam usaha memeriahkan bulan kemerdekaan pada tahun ini. Aktiviti lain yang dijalankan antaranya termasuklah, pertandingan mencanting batik bertemakan “Bunga Raya, Bunga Kebangsaan”, pertandingan pakaian retro klasik kemerdekaan, persembahan silat, persembahan lagu patriotik oleh kumpulan Akustik MBSA, reruai lukisan karikatur, jualan dan pameran.
Dalam majlis yang sama, Pengarah Pembangunan Komuniti MBSA, Encik Shahrin Ahmad, turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian SPKSA 2024.