22 Ogos 2024, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Chiah Wei Yuan telah dinobatkan sebagai johan Sayembara Puisi Kemerdekaan Shah Alam 2024 (SPKSA) bagi kategori sekolah menengah anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sayembara tersebut diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan ke-67 bertempat di Laman Seni 7, Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau yang merupakan murid Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama, Selangor telah berjaya mendeklamasikan sajak berjudul “Cinta Waja Warga Merdeka” karya Sabariah Bahari dengan penuh penghayatan dan persembahan yang bersemangat.

Chiah berjaya mendalami sajak tersebut dan mendeklamasikannya dengan sebutan yang jelas dan intonasi serta vokal yang baik. Pemilihan sajak yang tepat juga menjadikan persembahan beliau lebih bermakna.

Beliau yang juga pernah memenangi Pertandingan Deklamasi Sajak Sekolah Menengah anjuran Karangkraf, Bank Rakyat dan Jabatan Pendidikan Selangor pada tahun ini, menyatakan bahawa penglibatannya dalam sayembara seumpama ini adalah disebabkan minatnya yang mendalam sejak sekolah rendah lagi dan dengan sokongan membina daripada jurulatihnya, iaitu Cikgu Hafezi.

“Saya amat berharap agar lebih ramai deklamator bukan berbangsa Melayu menceburi dan meminati puisi kerana bahasanya indah dan menarik,” ujar Chiah selepas usai sesi penyampaian hadiah.

Sementara itu, naib johan disandang oleh Aisyah Noor Balqis Muhammad Asri, murid Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tasik, Kuala Lumpur dengan sajak berjudul “Citra Jiwa Merdeka” karya Abdul Karim Gullam dan tempat ketiga dimenangi oleh Putri Nuralyaa Aqilah Jamil, murid Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor dengan sajak berjudul “Berjalan di Bumi Merdeka” nukilan Ahmad Razali.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.00, trofi dan sijil penyertaan, naib johan pula menerima hadiah wang tunai RM300.00, trofi dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM200.00, trofi dan sijil penyertaan.

Yap Wan Xuan ketika mendeklamasikan sajak kemerdekaan.

Selain Chiah, Yap Wan Xuan dari Sekolah Menengah Bukit Jalil, Kuala Lumpur turut terpilih menyertai SPKSA peringkat akhir dengan sajak berjudul “Kitalah Warga Merdeka yang Mengerti” karya Amy Suzzani Mohd Ainuddin. Beliau memenangi hadiah saguhati dan menerima wang tunai sebanyak RM100.00 dan sijil penyertaan.

Penglibatan murid pelbagai bangsa dalam acara seperti ini berjaya memupuk semangat patriotisme yang tinggi dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat harmoni di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.