Diterbitkan pada 20 Ogos 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Nur Hafizah Shaharom

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-67, Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pertandingan Menulis Esei buat ahli SRR yang berdaftar.

Dengan mengangkat tema “Erti Kemerdekaan buat Suri Rumah”, penganjuran pertandingan ini diharapkan dapat menjadi satu daripada medan untuk mereka melontarkan pandangan berkaitan kemerdekaan melalui kaca mata seorang suri rumah.

Penganjuran pertandingan yang memfokuskan penyertaan daripada golongan isteri dan wanita ini dilihat merupakan satu peluang yang baik untuk mereka merenung dan meneroka apa-apa yang tersirat di ruang fikiran, seterusnya mengekspresikan rasa tersebut dalam bentuk penulisan.

Selain itu, pertandingan ini juga berupaya membantu mengembangkan bakat suri rumah yang ingin berjinak-jinak dalam dunia penulisan kreatif, melalui sebuah sesi perkongsian santai secara dalam talian yang bertajuk How to Develop Your Writing Skill at Home, pada pagi tadi.

Perkongsian ilmu oleh Dr. Intan Melati Che Hassan berkenaan dunia penulisan kreatif. Dr. Intan Melati Che Hassan merupakan pemilik laman blog Dorsett Pink.

Perkongsian ilmu yang berlangsung sekitar dua jam menerusi aplikasi Zoom itu telah disampaikan oleh Dr. Intan Melati Che Hassan yang juga merupakan seorang penulis yang dikenali menerusi laman blog Dorsett Pink. Kongsinya,

Jangan risau jika anda rasa penulisan anda tidak teratur. Perkara ini merupakan hal yang normal apabila penulisan agak kurang tersusun pada fasa awal penulisan. Yang penting, anda mula menulis.

Menurut beliau, di samping untuk memberikan manfaat kepada pembaca, tujuan utama menulis ialah sebagai perkongsian ilmu. Justeru, beliau menjemput para suri rumah dan wanita di luar sana untuk bersama-sama menyertai Pertandingan Menulis Esei anjuran SRR bagi menggilap potensi penulisan sekali gus menghasilkan sebuah karya yang tulen tentang dunia rumahtangga dan kewanitaan.

Pertandingan ini telah bermula sejak 12 Ogos lalu dan akan tamat pada 31 Ogos ini. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan Puan Hakimah melalui talian terus,013-4466972 atau Puan Syafiqah melalui talian terus, 013-2767280.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi