Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKedah – Sebagai satu daripada inisiatif penting dalam dunia sastera tempatan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Cerpen untuk Pengkarya Muda yang berlangsung pada 5 Ogos 2024, bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang, Kulim, Kedah.
Bengkel yang melibatkan sebanyak 70 orang peserta ini telah berlangsung di Dewan Kuliah ADTEC Mahang, dengan bimbingan penulis dan ahli akademik yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan kreatif, Dr. Husairi Hussin.
Bengkel bimbingan ini turut melibatkan pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang dan Sekolah Menengah Agama Islahiah Mahang yang dilihat berbakat sebagai peluang dan ruang buat mereka mendalami dengan lebih terperinci teknik dan gaya penulisan cerpen.
Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Mahang, Puan Ruzana Md. Noor dalam Ucapan Alu-aluannya berkata,
Peluang ini merupakan ruang emas bagi pelajar dan guru untuk mempelajari selok-belok penulisan cerpen. Saya berharap agar semua peserta dapat menghasilkan karya yang berkualiti dan terus membangunkan bakat mereka dalam bidang penulisan kreatif.
Melalui bengkel ini, para peserta turut diperkenalkan dengan teknik asas penulisan cerpen, antaranya termasuklah pembinaan watak, plot, dialog dan teknik garapan naratif. Selain itu, mereka juga turut diberikan peluang untuk berkongsi idea sebagai sumbang saran kreatif dan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pembimbing.
Penganjuran Bengkel Penulisan Cerpen untuk Pengkarya Muda anjuran DBPWU ini diharapkan bukan sahaja dapat menyemai minat dan bakat baharu dalam kalangan pelajar dan guru, tetapi juga berjaya memupuk budaya penulisan yang aktif dan kreatif di sekolah-sekolah yang terlibat.