Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Khairul Azhar Baharudin
Perak – Buat julung-julung kalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama People of Remarkable Talents’ (PORT) mengadakan tayangan telefilem Capa Rengat Gulai Rawo di Pusat Konvensyen Ipoh (PICC). Tayangan ini bertujuan untuk mempromosikan usaha mengadaptasi karya sastera kepada masyarakat bersempena dengan penganjuran Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-8 dan Bazar Buku Perak 2024 pada hari ini.
Capa Rengat Gulai Rawo merupakan projek adaptasi dua buah cerpen karya Sasterawan Negeri Perak, Encik Baharuddin Kahar yang telah diusahakan oleh DBP dengan kerjasama Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2021. Cerpen Capa Rengat juga telah mendapat pengiktirafan melalui Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1976/1977.
Pengurus Besar PORT, Puan Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin dalam ucapannya berkata:
Kami mengalu-alukan usaha DBP dan RTM yang melibatkan PORT sebagai rakan kerjasama dalam menyebarluaskan karya sastera dalam pelbagai medium kepada masyarakat.
Sementara itu, Encik Baharuddin Kahar berkata:
Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak DBP, RTM dan PORT yang telah menyediakan slot tayangan ini dan memberikan ruang kepada masyarakat untuk menikmati keindahan sastera.
Dalam majlis ini, DBP dan PORT bekerjasama mewujudkan sudut bacaan di premis PORT bersempena dengan program Dekad Membaca Kebangsaan 2024.
Turut hadiri dalam majlis ini ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Encik Armin Azhari bin Saleh, Wakil Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Encik Sharrul Rizal Hashim dan Pengarah dan Penulis Skrip telefilem Capa Rengat Gulai Rawo, Encik Wan Afzam Wan Daud.