Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Khairul Azhar Baharuddin
Perak – “Hidup ini tentang unsur perlawanan nilai dan latar.”
Demikian kata-kata Sasterawan Negeri Perak, Encik Baharuddin Kahar yang melatari Forum Capa Rengat Gulai Rawo yang merupakan satu daripada pengisian program Bazar Buku Perak 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC).
Forum ini diadakan bersempena dengan penerbitan karya adaptasi dua buah cerpen Baharuddin Kahar, iaitu Capa Rengat dan Gulai Rawo.
Usaha untuk mengadaptasi karya ini merupakan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2021.
Forum ini menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Encik Baharuddin Kahar, YBrs. Dr. Hanafi Ibrahim, Encik Wan Afzam Wan Daud, manakala moderator ialah YBrs. Dr. Mohamad Shahidan.
Dalam forum tersebut, YBrs. Dr. Hanafi Ibrahim berkata:
Usaha untuk mengangkat karya sastera ke layar perlu diperhebat dengan mengenal pasti kekuatan karya sastera yang mempunyai nilai dalam memberikan pilihan tontonan kepada khalayak berlandaskan fungsi sastera yang berkisar tentang keindahan dan manfaat.
Selain itu, Encik Wan Afzam Wan Daud yang juga pengarah dan penulis skrip telefilem Capa Rengat dan Gulai Rawo mengatakan bahawa:
Karya sastera mempunyai sudut anjal untuk dialih wahana kerana mempunyai kekuatan teks dan asas nilai yang kukuh.
Terdahulu, DBP telah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengadaptasi karya sastera seperti Sesekali (RTM), Ayahanda (TV3), Kemboja di Hati (TV-AlHijrah) dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (ASTRO).