Diterbitkan pada 1 Ogos 2024, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Belanjawan MADANI 2024 telah memperuntukkan RM2.5 juta bagi memajukan industri kreatif, khususnya dalam bidang penulisan di Malaysia.

Peruntukan tersebut membuka peluang buat penulis muda dalam merancakkan dunia kepengarangan mereka dan seterusnya membuka jalan untuk karya-karya yang bermutu dan berkualiti dari mereka diterbitkan.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) kini mengumumkan pelaksanaan projek Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI menyasarkan penerbitan sebanyak 100 buah judul buku baharu.

PENA kini membuka peluang seluas-luasnya buat penulis tempatan untuk menerbitkan karya mereka dan menyumbang ke arah memperkayakan khazanah sastera bangsa melalui projek penerbitan buku yang telah berjaya meraih dukungan penuh oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata bahawa usaha mereka melalui projek ini bukan hanya untuk menghasilkan karya, tetapi juga untuk melatih penulis agar benar-benar memahami bagaimana proses penerbitan berlaku dan apa yang dikatakan sebagai sebuah manuskrip yang lengkap. Ujarnya lagi,

Kami juga ingin ilmu tentang penerbitan ini dikongsikan dalam bengkel penerbitan, bengkel kebahasaan dan bengkel penyuntingan yang akan diadakan supaya generasi akan datang bukan hanya berharap kepada penerbit untuk menghasilkan karya mereka dari awal hingga akhir.

Melalui usaha ini, PENA juga dilihat komited dalam menjayakan projek penerbitan buku berskala besar tanpa mengharapkan pulangan keuntungan semata-mata serta menyambut baik usaha pihak kerajaan yang ingin merancakkan pertumbuhan karya kesusasteraan tempatan.

Antara manfaat yang bakal diterima penulis melalui Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI ini antaranya termasuklah, manfaat royalti sebanyak 10% daripada harga jualan buku, proses penerbitan segera (dalam tempoh enam bulan selepas manuskrip dipilih), edaran buku secara meluas melalui pelbagai saluran seperti  dalam talian, perpustakaan dan kedai buku serta bimbingan editor profesional bagi meningkatkan kualiti karya.

Bagi menjawab persoalan berkenaan unjuran genre bagi 100 judul buku yang disasarkan dalam projek Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI tersebut, Presiden PENA berkata bahawa puisi diunjurkan sebanyak 35 judul, kumpulan cerpen sebanyak 15 judul, novel sebanyak 10 judul, novel remaja sebanyak 15  judul, buku kanak-kanak sebanyak lima judul, buku bergambar kanak-kanak 10 judul dan buku umum sebanyak 10 judul.

Justeru, PENA turut menawarkan peluang keemasan dan membuka ruang seluas-luasnya buat seluruh penulis di Malaysia untuk turut serta dalam projek penerbitan ini melalui kiriman karya terbaik mereka untuk dinilai dan diterbitkan.

Sebarang penghantaran manuskrip karya boleh dikirimkan secara dalam talian di www.bukupena.com, atau e-mel [email protected], ataupun secara talian terus di 019-5196316.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi