Diterbitkan pada 24 Julai 2024, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Muhammad Firdhaus Roosly

Perak – Sebanyak 16 orang sukarelawan Himpunan Anak Kedah (HAK) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terlibat bagi program KAYAH 2024 sebagai inisiatif untuk memupuk semangat kecintaan terhadap budaya gotong-royong di samping mengeratkan hubungan dengan anggota masyarakat.

Program yang bersifat riadah dan rekreasi ini dianjurkan sebagai pelantar untuk mereka menjalani gaya hidup sihat sambil menderma kepada Pertubuhan Baitul Al-Hilmi Malaysia dengan sokongan dan kerjasama erat  antara badan kerajaan dan badan korporat serta NGO dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim.

Program KAYAH 2024 ini juga dilihat sebagai satu ruang dan peluang buat sukarelawan UPSI yang terlibat untuk menyumbang kepada masyarakat serta memaksimumkan kualiti masa dengan melakukan aktiviti yang berfaedah.

Sepanjang program berlangsung, sukarelawan UPSI ini telah dibahagikan kepada beberapa tugasan penting antaranya termasuklah, berperanan sebagai pembantu dapur yang membantu menyediakan makanan kepada peserta serta tetamu, urus setia program, menguruskan pendaftaran peserta dan menyelaras aktiviti program serta memastikan perancangan berjalan dengan lancar.

Kerjasama antara mereka dalam melaksanakan tugasan secara tidak langsung telah membuktikan semangat dan kesungguhan berpasukan yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan program KAYAH 2024 yang dilihat dapat membentuk individu berdedikasi dalam membantu masyarakat.

Diharapkan program-program seperti ini mampu menjadi tambah nilai terhadap penglibatan aktiviti kesukarelawanan dengan meningkatkan pembangunan kendiri serta membendung diri daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi