Diterbitkan pada 21 Julai 2024, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin


Shah Alam
– Sastera memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan minda anak bangsa dan kerajaan negeri Selangor melalui peranan serta fungsi yang dijalankan oleh pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bagi memastikan arena seni ini terus diperkasakan dengan penganjuran pelbagai aktiviti seni dan sastera secara berterusan dan berkesan.

Hal ini dinyatakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, YB Tuan Borhan Aman Shah melalui wakilnya, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), YBhg. Dato’ Johary Anuar ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Kemuncak Festival Puisi Selangor 2024 di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, hingga kini, pelbagai program yang memperkenalkan dunia seni dan sastera giat dicadangkan dan dianjurkan selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan bagi memenuhi aspirasi Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam majlis yang sama, beliau turut merasmikan inisiatif Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Selangor.

Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan, festival yang terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat ini diharapkan menjadi titik tolak kepada kebersamaan antara organisasi, badan korporat dengan persatuan untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan idea untuk mengembangkan seni dan sastera Selangor ke satu tahap yang lebih membanggakan.

Majlis Kemuncak Festival Puisi Selangor ini turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Dalam ucapannya, beliau memberikan penekanan tentang kepentingan puisi untuk menyampaikan mesej melalui pendekatan yang lebih menyentuh jiwa terutamanya berkaitan dengan makna sebuah kemerdekaan kepada generasi muda.

Ujar beliau,

Puisi yang diangkat mencetuskan emosi kita terhadap kecintaan terhadap negara dan terhadap perjuangan yang belum selesai terhadap pelbagai isu, tentang maruah bangsa, bahasa, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Bait puisi penting untuk menyedarkan kita semua dan proses mengisi erti ‘kemerdekaan’ itu merupakan satu proses yang panjang dan memerlukan sesuatu perancangan, ketelitian serta pengorbanan yang luar biasa, kalau kita ingin memberikan makna sebenar terhadap kemerdekaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika menyampaikan ucapan bersempena dengan Festival Puisi Selangor 2024, hari ini.

Festival ini diakhiri dengan Pertandingan Akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan (SDPK) 2024 Kali ke-38 Peringkat Negeri Selangor yang menyaksikan Encik Shahrul Fadilah Ibrahim sebagai juara keseluruhan.

Beliau yang membawa pulang sebuah piala, wang tunai sebanyak RM1000, baucar spa, set kelengkapan makanan dan sebuah cenderamata iringan akan mewakili negeri Selangor ke SPDK 2024 Kali ke-38 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 23 Ogos 2024.

Barisan pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan kali ke-38 Peringkat Negeri Selangor bersama-sama hadiah kemenangan yang dibawa pulang.

Dengan inspirasi slogan #MalaysiaMembaca, Festival Puisi Selangor 2024 diadakan bersempena dengan DMK dan berlangsung selama dua hari bermula pada 20 Julai 2024 hingga hari ini.

Festival ini merupakan sebuah acara rasmi anjuran Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) melalui kerjasama Jawatankuasa Tetap Pustaka Raja Tun Uda, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan DBP Wilayah Tengah.

Bertempat di Auditorium Pustaka Raja Uda, Shah Alam, festival puisi ini melibatkan tujuh slot forum bersama-sama panel yang terdiri daripada Sasterawan Negara dan para penggiat seni budaya sastera Melayu.

Antara topik yang dibincangkan termasuklah penghayatan naskhah dalam deklamasi puisi dan lakonan, puisi sebagai wadah pemantapan sastera, perkembangan sastera di negeri Selangor dan sesi puisi santai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi