Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Hafizee Affiq Japar
Kota Kinabalu – Impak yang lebih berkesan untuk menyuntik semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dilihat melalui penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-38, Peringkat Negeri Sabah yang diadakan buat julung-julung kalinya, hari ini.
Hal ini dinyatakan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, YBrs. Puan Aminah Awang Basar, ketika menyampaikan kata alu-aluan Majlis Perasmian Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-38, Peringkat Negeri Sabah, di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS).
Seiring dengan tema Hari Kebangsaan 2024 yang menjulang slogan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”, kegiatan sayembara puisi yang dianjurkan seumpama ini sewajarnya mendapat sokongan dan dukungan penuh daripada masyarakat.
Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Jasni Matlani dalam ucapannya sewaktu menyempurnakan perasmian Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-38 ini turut menegaskan,
Antara objektif sayembara ini termasuklah, untuk meneguhkan perpaduan kaum melalui pengucapan puisi. Sayembara tahunan ini juga dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, di samping menjadi medan untuk kita memilih wakil negeri Sabah ke peringkat kebangsaan yang bakal dilaksanakan pada bulan Ogos nanti.
Program anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) selaku badan kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) melalui kerjasama DBPCS ini telah menyaksikan sebanyak 21 orang peserta berentap dalam peringkat saringan pada 19 Julai (semalam), sebelum 10 peserta terbaik dipilih untuk beradu kehebatan masing-masing pada peringkat akhir.
Johan bagi Sayembara Deklamasi Puisi ini dirangkul oleh Ardiansyah Wayang dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000, sijil penghargaan dan piala pusingan, manakala Naib Johan menjadi milik Wan Muhamad Adidi Wan Ya’akub dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM700 dan sijil penghargaan dan Tempat Ketiga disandang oleh Afiq Fikri Mohd Nizam yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 dan sijil penghargaan.
Penerima sagu hati masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 dan sijil penyertaan telah menjadi milik Dayana Chacho, Nurirfiney E Hairoland Fredo dan Ahmad Afif Hakimi Abdul Mukim.