Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSarawak – Bersempena dengan Festival Bahasa dan Sastera (FBS) 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCSar) telah menganjurkan Pertandingan Bercerita dan Pertandingan Lagu Berkumpulan yang melibatkan penyertaan julung-julung kali daripada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Penganjuran pertandingan ini turut mendapat kerjasama melalui Pejabat Pendidikan Daerah Kuching dan Persatuan Lembaga Bersekutu Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina yang turut bersama-sama membantu DBPCSar menguar-uarkan pertandingan ini kepada semua SJKC di Sarawak.
Sebanyak sembilan buah sekolah yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, antaranya termasuklah SJK Chung Hua No. 5, SJKC Bintawa, SJK Chung Hua No. 3, SJK Chung Hua Buntal, SJKC St. Paul, SJK Chung Hua No. 1, SJK Chung Hua No. 4, SJKC Stampin dan SJK Chung Hua No. 2.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mempertingkatkan kualiti kemahiran psikomotor dan membina kecekapan berbahasa dalam kalangan pelajar di sekolah rendah sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi agar dapat bertutur dengan menggunakan sebutan yang betul, intonasi, gaya dan ekspresi yang sesuai.
Peserta kecil-kecil cili padi dari kesemua sekolah ini telah memberikan persembahan penuh semangat dengan membawa tema “Irama Malaysia”.
Barisan hakim yang terlibat dalam menggalas amanah menilai kedua-dua pertandingan ini antaranya termasuklah, Encik Abdul Rasid Haji Subet, Puan Hajijah Haji Mainol, Puan Dorensia Dyonie Dominic, Puan Fatin Nabilah Nor Ekhsan, Puan Saidatul Faiqah Samasu dan Encik Shamsul Idzam Jamil.
Penganjuran pertandingan seperti ini dilihat akan berupaya memberikan pendedahan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan para pelajar SJKC. Selain memupuk nilai murni dalam menghargai muzik irama Malaysia sebagai warisan seni budaya yang perlu dipelihara supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.