Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSarawak – Festival Bahasa dan Sastera (FBS) Peringkat Negeri Sarawak 2024 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak yang bakal dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 19 Julai 2024 telah membuka tirainya dengan penganjuran Pertandingan Penglipur Lara Moden yang diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCSar).
Sebanyak lapan buah sekolah menengah swasta Cina di Sarawak telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dengan syarat penyertaan, mana-mana peserta yang terlibat diwajibkan oleh pihak penganjur untuk menerapkan unsur opera Cina seperti kostum, bunyi muzik dan pergerakan semasa persembahan sebagai kelainan yang ingin ditonjolkan dalam pertandingan pada kali ini.
Pertandingan Penglipur Lara Moden ini dimulakan dengan persembahan daripada Kumpulan CHMS4 (Sekolah Menengah Chung Hua No. 4), diikuti oleh Kumpulan Lara (Sekolah Menengah Pei Min), Kumpulan SM Katolik (Sekolah Tinggi Katolik), Kumpulan Bintang KD (Sekolah Menengah Kai Dee), Kumpulan Bangkitlah Si Kumbang (Sekolah Menengah Chung Hua No. 1), Kumpulan Do Re Mi (Sekolah Menengah Wong Nai Siong), Kumpulan Lengkang Wijaya (Sekolah Menengah Jalan Riam) dan Kumpulan Dinasti Shengyunkee (Sekolah Menengah Min Lit).
Barisan panel juri pada kali ini merupakan Pegawai DBPCSar, yang berkemahiran dalam menilai beberapa aspek persembahan antaranya termasuklah aspek bahasa dan pertuturan, teknik persembahan dan unsur pengajaran yang diterapkan dalam persembahan.
Antara barisan juri yang terlibat termasuklah, Ja’afar Haji Hamdan (Ketua Juri), Puan Edith Sulie Bidas dan Encik Shamsul Idzam Jamil.
Rata-rata peserta yang terlibat pada tahun ini menunjukkan kebolehan mereka dalam menghayati jalan cerita yang disampaikan dan berupaya menggunakan suara yang sesuai sepanjang persembahan berlangsung sekali gus, memberikan nilai tambah buat persembahan mereka.
Penganjuran aktiviti pertandingan sastera lisan seperti ini khususnya yang melibatkan penyampaian penglipur lara moden diharapkan dapat membantu mendidik dan menarik minat generasi muda agar menjadikan sastera sebagai satu daripada sumber hiburan yang menggunakan bahasa kebangsaan dengan sentuhan yang kreatif dan indah.