Diterbitkan pada 1 Julai 2024, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Errysha Gelang Richmond Jins

Sarawak – Pertandingan Melarik Puisi merupakan satu daripada inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCSar)  dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak untuk mencapai dasar memartabatkan bahasa Melayu oleh kerajaan untuk mewujudkan penggunaan bahasa Melayu yang seragam dalam kalangan pelajar.

DBPCSar melalui kerjasama UiTM Cawangan Sarawak telah menganjurkan Pertandingan Melarik Puisi bersempena dengan program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2024 dan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-68 di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Sarawak Kampus 2.

Penganjuran pertandingan pada kali ini turut disertai sebanyak 30 orang pelajar institusi pengajian tinggi dari UiTM Cawangan Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Tun Abdul Razak, Kota Samarahan bertujuan untuk memperkenalkan Sasterawan Negara dan karya-karya mereka kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

(kiri) Tempat ketiga, Awangku Arif Syamzanire Awang Zuparizan, (tengah) johan, Malvin Johanson James dan (kanan) naib johan, Muhammad Ikmal Zulhaim.

Johan bagi Pertandingan Melarik Puisi 2024 ini telah dirangkul oleh Malvin Johanson James (IPGK Tun Abdul Razak), manakala naib johan pula disandang oleh Muhammad Ikmal Zulhaimi (IPGK Tun Abdul Razak), dan tempat ketiga dimenangi oleh Awangku Arif Syamzanire Awang Zuparizan (IPGK Tun Abdul Razak).

Turut hadir dalam majlis penutupan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Madya Dr. Saimi Bujang; Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGK Tun Abdul Razak, Dr. Sara Beden; Timbalan Dekan Hubungan Industri dan Masyarakat Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, Dr. Noratikah Mohd Ashari dan Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Cawangan Sarawak, Puan Nur Afeqah Abdullah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi