Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Pembentangan Kolokium Lima Minit (KOLIMI) Bahasa Melayu Antarabangsa 6.0 bertempat di Anjung 1, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung pada 13 Jun 2024.
KOLIMI 6.0 yang berlangsung tempoh hari telah disertai sebanyak 58 orang pelajar semester tujuh, Bahasa Melayu (AT05) UPSI; pelajar Sarjana Muda, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Universitas Sriwijaya, Indonesia.
Pelaksanaan KOLIMI 6.0 pada kali ini turut memberikan peluang kepada para pelajar untuk membentangkan hasil kajian mereka dalam bidang Bahasa Melayu melalui penilaian pensyarah UPSI dengan mengambil kira kejelasan dalam pembentangan dan reka bentuk bunting (banner).
Dalam program yang sama, majlis penutupan KOLIMI 6.0 ini turut dirasmikan oleh dekan FBK, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad dan dihadiri oleh Ketua Jabatan FBK, Dr Zuraini Ramli bersama-sama penyelaras Projek Tahun Akhir Kohort Za’ba, Dr Muhamad Fadzllah Hj Zaini serta para pensyarah daripada Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM).
Sebanyak lapan orang pembentang telah mendapat Anugerah Panel Penilai. Manakala, Piala Pusingan bagi Anugerah Khas KOLIMI 6.0 telah dimenangi oleh Muhammad Zakiul Fikri daripada Universitas Sriwijaya, Indonesia.