Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSabah – Setelah lima hari berlangsungnya Festival Kesusasteraan, Kesenian dan Puisi Esei Antarabangsa bermula Rabu lalu dengan puluhan kertas kerja yang telah dibentangkan oleh pemakalah dari dalam dan luar negara, festival pada tahun ini melabuhkan tirainya, malam tadi.
“Akhirnya, festival ini tiba ke penghujungnya. Kami amat berharap festival ini tidak terhenti hanya setakat ini sahaja namun terus mekar setelah para peserta pulang ke negara masing-masing,” ujar Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Datuk Jasni Matlani dalam ucapan kata alu-aluan beliau.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang bekerjasama dalam urusan penyediaan ruang dan tenaga kerja.
Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Encik Amiruddin Mohd Ali Hanapiah, dalam ucapannya menjelaskan,
Janganlah hubungan kita setakat hubungan sastera sahaja tetapi seharusnya ikatan ini lebih daripada itu, seperti budaya dan bahasa.
Beliau turut menyatakan harapan agar DBP terus menyokong pihak BAHASA dalam penganjuran festival seperti ini pada masa akan datang.
Majlis penutupan malam tadi yang diadakan di Dewan Amil Jaya telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Encik Jasmi Rasit mewakili Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman.
“MOTAC akan terus memberikan sokongan yang tinggi dalam penganjuran program berbentuk budaya dan seni. Kalau bukan kita, siapa lagi,” ujar Encik Jasmi Rasit.
Beliau berharap penganjur tidak berputus asa dalam usaha mendidik masyarakat walaupun menghadapi pelbagai cabaran agar aspek kesenian dan kebudayaan terus diwarisi oleh anak muda.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, kesenian dan dendangan lagu puisi dari pelbagai negara, antaranya termasuklah, Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, Kumpulan Seni dan Budaya Maktab Sabah, Kumpulan Putra Seni Brunei Kumpulan Muzik Jalanan Sinar Bakti, karyawan DBP Cawangan Sabah dan ahli BAHASA.
Selain menyemarakkan dunia sastera, penganjuran festival seumpama ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Sabah sebagai Ibu Kota Puisi Esei.