Diterbitkan pada 10 Jun 2024, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Hafizah Shaharom

Port Dickson –  Sebanyak 37 orang peserta dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang telah menyertai Bengkel Asas Pengenalan Penulisan dan Penerbitan Cerita Rakyat bersempena dengan Program Sastera Lisan Negeri Johor 2024, di Corus Paradise Resort, Port Dickson pada 8 dan 9 Jun 2024, lalu.

Bengkel anjuran Kerajaan Negeri Johor yang diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) ini bertujuan untuk merakyatkan penulisan cerita-cerita rakyat agar tidak lapuk ditelan dek zaman.

Pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) memulakan sesi pertama bengkel dengan Pengenalan dan Kaedah Pendokumentasian Tradisi Lisan dalam sastera lama atau cerita rakyat.

Menurut beliau, pendokumentasian perlu dilaksanakan terutama sekali ketika masyarakat dunia sedang menghadapi era globalisasi yang mengakibatkan kecairan dan ketipisan jati diri, bangsa dan etnik.

Dalam program yang sama, peserta turut mendapat pencerahan berkaitan dunia penulisan kreatif tempatan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Norazimah Zakaria.

Bengkel tersebut turut diserikan dengan perkongsian cerita yang bertajuk Kisah Dua Orang Puteri oleh Puan Mazny M.R. dengan menggunakan teknik kamishibai dan bacaan puisi “Cerita Sebenar Mat Jenin” nukilan SN Zurinah Hassan yang diadaptasi daripada cerita Mat Jenin.

Majlis Perasmian dan Penutup Program Bengkel Asas Pengenalan Penulisan dan Penerbitan Cerita Rakyat telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah YWJ, Puan Sarina Taslim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi