Diterbitkan pada 2 Jun 2024, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Nadhirah Fitri

Tanjung Malim – Program Bicara Ilmu Bahasa dan Sastera siri kedua anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertempat di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI telah diadakan pada 21 Mei, yang lalu.

Bertepatan dengan tema “Mencari, memilih dan menikmati puisi artistik”, program ini diadakan bertujuan untuk membincangkan pengetahuan, kepakaran, pengalaman serta pemikiran tokoh berkaitan dengan puisi artistik dalam dunia sastera.

Program yang dihadiri oleh tokoh bahasa, Dato’ Rahman Shaari sebagai penceramah jemputan dan pensyarah UPSI, Profesor Madya Dr Ghazali Din telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Profesor Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad.

Dato’ Rahman Shaari dalam sesinya turut berkongsi,

Setiap orang mempunyai hak untuk menghasilkan puisi. Namun begitu, tidak semua orang mampu menghasilkan puisi artistik. Kebanyakan orang hanya mampu menghasilkan puisi kreatif dan bersifat klise.

Beliau juga turut berpendapat bahawa stail puisi moden sebenarnya berubah-ubah dari masa ke masa. Puisi yang benar-benar artistik pula pasti kekal berdiri kukuh biarpun terhasil lama dahulu.

Tambahannya lagi, dalam dunia puisi moden, imej yang tersurat boleh bertukar menjadi metaforikal. Misalnya, dalam karya Kamaruzzaman A.Kadir yang berbunyi:

Ketika masih gadis sunti

Sering ia berdiri di ambang jendela

Kagum melihat layang-layang berwarna

Menyanggah angin di angkasa

Dimainkan teman sebaya

Di lembah hijau terbuka

 

Ketika dewasa

Dialah layang-layang itu

Mengapung di angkasa

Gerun memandang lembah

Di sana berdiri teguh

Seorang suami

Mengendalikan talinya

Dalam majlis perkongsian ilmu yang sama, Dato’ Rahman Shaari juga turut menekankan tentang isu plagiat yang sering berlaku dalam dunia sastera. Jelasnya,

Plagiat tidak seharusnya berlaku dan merupakan suatu jenayah dalam penulisan dan wajar dielakkan.

Program Bicara Ilmu Bahasa dan Sastera siri kedua pada kali ini dilihat banyak memberikan manfaat bukan sahaja kepada pelajar malah kepada pensyarah sendiri dalam melahirkan pengkarya muda negara yang mampu menulis puisi yang bernilai artistik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi