Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Syarahan Bercerita Mengenai Kewartawanan Melayu: Konteks Tamadun dan Sejarah Intelektual Melayu oleh Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican mengupas dengan lebih mendalam tentang bidang kewartawanan Melayu dan peranannya dalam membentuk semangat kesedaran kebangsaan dan nasionalisme di kalangan masyarakat Melayu.
Sesi yang dipandu oleh Saudara Fhadrul Irwan dengan menampilkan Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican, seorang profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) sebagai pembentang utama telah diadakan di reruai Toko Buku Pujangga Baru bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, pada 1 Jun yang lalu.

Dalam siri syarahannya, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican turut menegaskan bahawa kewartawanan Melayu bukan sekadar cerita picisan atau gosip artis, tetapi sebuah profesion yang berakar umbi dalam intelektualisme dan bertujuan mendidik serta memajukan masyarakat.
Beliau menepis pandangan popular yang sering melihat wartawan sebagai tukang jaga tepi kain atau mereka yang menganggap surat khabar sebagai medium yang tidak boleh dipercayai. Katanya lagi,
Kewartawanan harus dilihat sebagai satu bentuk sastera yang penting dan berfungsi untuk mendokumentasikan fakta, menyampaikan berita, serta mengkritik dan mengulas isu-isu semasa.
Dalam era yang menyaksikan banyak media disalahgunakan untuk menyebarkan berita dan sensasi palsu, beliau datang memberikan penerangan tentang konsep sebenar kewartawanan Melayu yang berlandaskan prinsip-prinsip integriti, ketepatan dan fakta.
Tambahnya lagi,
Kewartawanan berkait dengan bidang falsafah. Ramai orang mengatakan bahawa kewartawanan ini merupakan anti-falsafah. Sebenarnya, kewartawanan mengandungi kefaktaan. Fakta itu sendiri adalah satu daripada kategori dalam falsafah. Kewartawanan juga (membincangkan) mengenai objektiviti iaitu nilai yang mana terdapat pemisahan terhadap fakta dan pendapat.
Secara keseluruhannya, Sesi Syarahan Khas Pujangga dan Ramah Mesra Pujangga di PBAKL2024 telah memberikan pencerahan yang mendalam tentang sejarah dan konsep kewartawanan Melayu.