Diterbitkan pada 1 Jun 2024, 01:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Siti Nurzulaikha Adam atau lebih mesra dikenali sebagai Zulaikha Adam kembali melonjakkan namanya dalam arena penulisan tanah air sebagai penerima Hadiah Sastera Darul Makmur (HSDM): Cerpen Eceran berjudul Topeng.

Dengan mengangkat tema kemanusiaan dalam karyanya, tidak hairanlah cerpen Topeng terbitan Mingguan Malaysia 2019 ini menjadi satu daripada pilihan juri bagi kategori cerpen eceran HSDM bagi kali kedua.

Guru Bahasa Melayu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang sempat diwawancara oleh Tunas Cipta ini turut berkongsi perasaan beliau apabila karyanya dipilih. Kongsinya,

Saya sangat gembira dan teruja kerana pertama kalinya berdiri di pentas HSDM. Negeri Pahang memiliki ramai karyawan hebat dan saya berdoa agar dapat mencontohi kekuatan mereka dalam bekarya.

Kepesatan dunia sastera dengan kehadiran karya yang semakin berkualiti, Zulaikha Adam mengharapkan dunia sastera masa ini sentiasa memberikan ruang kepada wanita untuk berkarya. Tambanya lagi,

Pihak kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan boleh menubuhkan persatuan khas untuk penulis wanita di negara ini agar dapat bersama-sama menggerakkan sastera dalam kalangan wanita.

Majlis Hadiah Sastera Darul Makmur Kali kedua ini telah berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, Dewan Astana, Kuantan pada 31 Mei 2024.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Hari Sastera Darul Makmur Kali kedua, Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Haji Abdul Jalil dan Presiden GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Mohd Borhan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi