Diterbitkan pada 1 Jun 2024, 01:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Dalam genre puisi, kehadiran dan kualiti karya daripada penulis muda mula menampakkan peningkatan ketara. Namun, bagi genre prosa mungkin kita agak ketandusan karya daripada penulis muda.

“Bagaimanapun, peranan pelantar media sosial dilihat memberikan ruang dan peluang yang luas buat mereka meneroka arena sastera tempatan,” ujar Abdullah Hussaini, penerima anugerah utama Hadiah Sastera Darul Makmur bagi kali kedua.

Cerpen Rumah di Sempadan Hutan nukilan Abdullah Hussaini telah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Sastera Darul Makmur: Cerpen Eceran dan penerima anugerah utama, Anugerah Tokoh: Penulis Muda Berbakat HSDM.

Anak kelahiran Jerantut, Pahang ini saban tahun telah membuktikan kekuatan karyanya melalui kelahiran karya yang pelbagai antaranya termasuklah, cerpen, novel, esei, puisi dan buku terjemahan.

Bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Dewan Astana, Kuantan pada 31 Mei 2024, Hadiah Sastera Darul Makmur (HSDM) Kali kedua telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Penulis yang mendapat pendidikan dari Universiti Teknologi MARA, Puncak Perdana dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Maklumat ini juga merupakan penerima Anugerah Sastera Selangor 2019 dan 2021 di bawah kategori Hadiah Utama, esei.

Penerokaan Abdullah Hussaini dalam pelbagai genre penulisan kreatif mahupun bukan kreatif telah membuktikan kelayakannya bergelar penulis muda berbakat, HSDM  pada tahun ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Hari Sastera Darul Makmur Kali kedua, Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Haji Abdul Jalil; Presiden GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Mohd Borhan dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, Dr. Azizul Haji Ismail.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi