Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menyemarakkan dunia sastera kanak-kanak dan remaja melalui program Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja kali ke-13 yang dianjurkan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja DBP dengan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.
Program ini yang berkonsepkan pertandingan ini dibahagikan kepada dua pertandingan, iaitu Pertandingan Pembentangan Kertas Kerja dan Pertandingan Poster Terbaik. Seramai 150 orang mahasiswa menyertai kedua-dua pertandingan tersebut.
Sebelumnya, Ketua Pengarah DBP, Dr. Haji Hazami Jahari menerusi ucapan perasmian menyatakan bahawa DBP sangat mengalu-alukan kerjasama program yang sebegini dalam memastikan dunia kesusasteraan terus lestari, terutamanya dalam konteks sastera kanak-kanak dan remaja.
Para mahasiswa harus mendapatkan ilmu lain selain hanya belajar di dalam kelas sahaja. Pengurusan program sebegini merupakan salah satu contoh yang terbaik buat mahasiswa dalam memperdalam pengetahuan dan bakat mereka.
Pembentangan kertas kertas kerja oleh para mahasiswa UPM tersebut meliputi pelbagai perkara melibatkan sastera kanak-kanak dan remaja. Antaranya termasuklah melibatkan teknik penceritaan, watak binatang, bahasa figuratif, kesantunan berbahasa, manifestasi dunia kanak-kanak, interaksi sosial, aspek pemikiran dan makna estetika.
Manakala pertandingan poster pula mencakupi perkara seperti visualisasi cerita rakyat, transformasi karya agung, memasyarakatkan sastera hikayat, dan pendigitalan sastera.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP dan Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, Pengerusi Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja.