Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kita mahukan tradisi warisan bangsa kita terus kekal UNTUK selama-lamanya. Bukan sekadar kekal dalam bentuk persembahan sahaja tetapi juga dalam bentuk dokumentasi.
Hal ini dinyatakan oleh Pengerusi Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-41, Encik Mohamad Khir Ngadiron dalam ucapannya ketika Majlis Pelancaran buku Makyung Asyik Jentari Gambalan Dewa tulisan Che Mat Jusoh pada 26 Mei 2024, tempoh hari.
Buku Makyung Asyik Jentari Gambalan Dewa yang diterbitkan di bawah rumah penerbitan Nusa Centre ini dimeriahkan lagi dengan persembahan seni Makyung oleh Rosnan Abdul Rahman, Ikon Makyung Malaysia.
Persembahan dan pelancaran yang diadakan di Pentas Utama, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada petang itu telah menarik perhatian lebih kurang 500 orang penonton yang terpesona dengan keunikan seni Makyung yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Menurut, Encik Khir Sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam menyediakan geran bagi membantu penerbitan buku Makyung ini sebagai satu daripada medium dokumentasi budaya negara amat dihargai oleh semua pihak. Tambahnya lagi,
Seni Makyung ini telah diiktiraf sebagai Karya Agung Warisan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Usaha Encik Mat Jusoh dalam mempromosikan seni Makyung hingga ke pentas antarabangsa memainkan peranan yang amat besar dalam memelihara warisan negara.
Majlis Pelancaran ini turut dihadiri oleh Penolong Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Encik Mohamad Safran Nawi, dan Penerbit Nusa Centre, Encik Syed Mohamad Zakir.
Selain persembahan Makyung, terdapat pelbagai persembahan seni dan budaya yang menarik dibawakan khas untuk para pengunjung PBAKL edisi pada kali ini, antaranya termasuklah, persembahan Dikir Barat oleh Halim Yazid di reruai DBP di Dewan Tun Hussein Onn pada petang yang sama, persembahan muzik tradisional Sabah, dan pelbagai lagi persembahan yang menarik bakal menanti pengunjung.
Pelancaran buku Makyung Asyik Jentari Gambalan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-41, Encik Mohd Khair Ngadiron.